PERLAWANAN sengit antara dua pasukan teratas iaitu Galatasaray dan Fenerbahce berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Super Turkiye pada Isnin di Stadium Ulker Fenerbahce Sukru Saracoglu, Istanbul, Turkiye.
Selain berakhir dengan masing-masing pasukan membawa pulang satu mata, pertembungan antara dua pasukan gergasi Turkiye itu juga terpalit dengan satu insiden kontroversi membabitkan pemain Fenerbahce, dan Alexander Djiku dan penyerang Galasaray, Mauro Icardi.
Menerusi satu video tular yang dimuat naik selepas perlawanan, pemain pertahanan pasukan tuan rumah itu didakwa menumbuk Icardi ketika bintang Argentina tersebut dalam misi melakukan percubaan ke gawang Fenerbahce.
Malang tidak berbau menimpa Icardi apabila pemain berusia 30 tahun itu turut terlanggar tiang gol dalam kejadian berbeza pada perlawanan sengit tersebut.
Penyerang pasukan kebangsaan Argentina itu juga sempat memuat naik gambar mata lebamnya di laman Instagram selepas perlawanan tersebut berakhir dan foto berkenaan mencuri perhatian penyokong bola sepak dunia.
Keadaan mata Icardi selepas perlawanan Galatasaray menentang Fenerbahce. — Agensi
Dalam pada itu, Galatasaray turut mengeluarkan kenyataan yang meluahkan kekecewaan dengan mutu pengadilan apabila tidak memberi sebarang apa-apa kad ataupun penalti ketika Icardi diserang oleh Djiku.
“Bilik VAR dan 26 kamera tidak dapat melihat dan kami pula yang berasa malu bagi pihak mereka atas kejadian ini.
"Mereka yang mahukan keadilan dalam bola sepak namun masih terus memanipulasi bola sepak Turkiye,” kata kelab yang kini menghuni kedudukan kedua di saingan liga.
Sementara itu, ketua pasukan Fenerbahce, Edin Dzeko pula menyelar tindakan Icardi yang memuat naik gambar mata tersebut kerana baginya kecederaan tersebut hadir selepas kesilapan penyerang itu sendiri.
“Icardi terlanggar tiang gol dan menginginkan belas kasihan di Instagram bagi mendapatkan penalti. Memalukan," kata pemain berusia 37 tahun itu di ruangan komen Instagram Icardi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram