TERENGGANU FC kini dalam usaha untuk menajamkan lagi serangan mereka dengan mendapatkan penyerang import baharu.
Gergasi Pantai Timur itu dikatakan mahu mendapatkan penyerang Kelantan United FC iaitu Ismahil Akinade bagi menggantikan Sony Norde yang dikatakan meninggalkan kelab itu untuk beraksi di India.
Perkembangan perpindahan Akinade ke Terengganu dikatakan hampir menjadi pasti kerana pemain tersebut dilaporkan sudah berada di fasa ujian perubatan bersama kelab tersebut.
Seandainya lulus ujian perubatan, Akinade akan disahkan menjadi pemain Terengganu baharu untuk musim depan. Namun tidak semua penyokong berpuas hati dengan tindakan itu.
Di mata penyokong, tindakan Terengganu mendapatkan Akinade adalah seperti downgrade kualiti skuad Penyu itu sendiri. Pada mereka, Akinade tidaklah sebagus Norde atau Ivan Mamut.
Akinade (kiri) merupakan penyerang utama Kelantan United musim ini. — Facebook/Kelantan United FC
"Kadang-kadang sakit hati dengan Terengganu yang ambil pemain lepas tu buang, lepas dah buang sibuk nak berjimat cermat, sakitnya hatiku!," kata penyokong bernama Wan Norashimah.
"Nak jimatkan kos, kita tengok TFC dulu macam mana," komen Ibrahim Hussin.
"Kalau ambil pemain import baik pakai Jordan Mintah saja," ujar Al Faizie.
Walaupun terdapat kelompok penyokong yang berasakan Akinade seolah-olah tidak diundang untuk menyarung jersi hitam putih kelab tersebut, masih ada kata-kata semangat diberikan kepada penyerang dari Nigeria tersebut.
Ada yang mahu memberikan tempoh percubaan terlebih dahulu kepada Akinade sebelum menentukan sama ada dia adalah pembelian yang berbaloi atau tidak.
"Tak apa kita cuba dulu. Mana tahu menjadi. Selalunya, Terengganu dengan penyerang Afrika ni dia serasi," kata penyokong bernama NB Bersatu.
"Belum mula lagi dah kritik dah, tunggulah lepas tiga, empat perlawanan," ujar Naim Ismail.
"Tengok dulu macam mana, benda tak mula lagi. Sebelum ni dia main kelab luar sebelum datang Kelantan okay, kita tengok dulu kalau betul dah dapatkan, jangan kecam lagi," komen Wan Adnan.
Bersama Kelantan United musim ini, Akinade telah beraksi sebanyak 21 kali dalam Liga Super sambil mencatatkan lapan gol serta lima bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram