Gembira bersama KL City, tonggak tengah Warga Kota buka mulut khabar angin ke Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 25 Dis 2023

Avanzini (kiri) merupakan antara kesebelasan utama KL City pada musim ini. — Facebook/KLCity

WALAUPUN menghabiskan saingan liga di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 38 mata namun Kuala Lumpur (KL) City FC masih boleh dianggap sebagai pencabar untuk kejohanan domestik lain.

Misalnya, skuad Warga Kota musim ini berhasil melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir di saingan Piala Malaysia dan merupakan naib johan Piala FA selepas tewas 0-2 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada Julai lepas.

Jika ingin berbicara satu perkara yang kurang bernasib baik menimpa kepada kem pasukan Lembah Klang berkenaan, pasti masalah gaji akan dibangkitkan penyokong sehingga menyebabkan beberapa pemain memilih untuk angkat kaki lebih awal.

Selain daripada pemain yang sudah meninggalkan skuad Warga Kota lebih awal seperti Tchetche Kipre dan Kevin Mendoza, terdapat juga pemain sedia ada sedang berada dalam pemantauan beberapa kelab Liga Super lain.

Antara yang difahamkan sedang dalam buruan ialah Sebastian Avanzini selepas ciapan daripada pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran mengatakan pemain tengah kelahiran Itali itu sedang menarik minat Șri Pahang bagi membantu memperkukuhkan pasukan pada saingan musim depan.

Avanzini yang menyertai pasukan Warga Kota pada jendela perpindahan Januari itu bagaimanapun masih enggan mengulas mengenai khabar angin mengaitkannya dengan kelab Pantai Timur berkenaan.

WhatsApp Image 2023-12-25 at 17.59.04

Avanzini menyertai KL City pada awal musim ini. — Facebook/KLCity

“Saya tidak boleh nak cakap apa-apa mengenai masa depan saya sekarang. Saya hanya boleh mengesahkan bahawa kontrak saya tamat dan saya masih belum menandatangani apa-apa lagi.

“Saya gembira sepanjang bersama KL City. Tapi sampai satu masa, kita hanya mampu berserah,” katanya kepada Majoriti ketika ditanya mengenai tawaran daripada kelab lain.

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui cukup berpuas hati pada tahun pertamanya di saingan Liga Malaysia dan gembira dengan keputusannya menyertai KL City pada awal musim ini.

Menurut pemain yang mempunyai darah campuran Itali, Denmark dan Korea Selatan itu, rakan sepasukan di KL City memainkan banyak peranan membantunya menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia.

WhatsApp Image 2023-12-25 at 17.59.36

KL City merupakan naib johan Piala FA 2023. — Facebook/KLCity

“Musim bersama KL memang menakjubkan. Saya tak nak cakap mengenai diri saya, nak cakap pasal pasukan. Kami mempunyai bilik persalinan yang harmoni.

“Kelab ini bagus sebab tiada perbezaan antara pemain import dan lokal. Saya bukan bercakap bahasa sama tapi mereka dah jadi kawan rapat saya. Saya bersyukur sepanjang masa bersama KL.

“Dari segi persembahan, kami dapat ke final lagi (Piala FA). Kalah di semifinal (Piala Malaysia). Ketika itu kami struggle dengan masalah dalaman. Kami bangga. Saya suka usaha dan semangat pasukan ini,” kongsinya.

Tonggak tengah yang berketinggian 1.85 itu bukan sahaja membantu menggerakkan jentera tengah KL City, malah turut menyumbang dua jaringan gol dan dua hantaran bantuan untuk skuad Warga Kota dalam 22 aksi Liga Super dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram