Penentangan tingkatkan optimisme Kim Swee, Sabah FC


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Kim Swee pernah berkongsi betapa dia serik dengan beberapa penyerang asing yang datang dengan testimonial memberangsangkan tapi nyata mengecewakan setelah menyertai pasukan.

ADA rahsia yang tersimpan rapi dalam peningkatan Sabah FC untuk mencapai matlamat mengekalkan tempat ketiga dalam Liga Super 2023 yang berakhir dengan agak dramatik – sekurang-kurangnya buat skuad Sang Badak itu – lebih seminggu lalu.

Harus berlawanan dengan tanggapan ramai, ia sebenarnya berpunca daripada suatu bentuk penentangan terhadap ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, yang bagaimanapun memilih untuk tidak menggembar-gemburkannya demi keharmonian pasukan.

Dikhabarkan hanya mereka yang rapat dengan pengurusan pasukan yang mengetahui perkara itu tapi jika diimbau kembali, ia harus jelas bahawa tindakan pantas bekas jurulatih kebangsaan itu yang berjaya menyelamatkan keadaan.

Masih ingatkah Jailton Paraiba – penyerang bertubuh kecil dari Brazil yang menyertai The Rhinos pada awal musim ini daripada kelab Liga Super China, Qingdao West Coast, untuk memperkuatkan bahagian sayap kiri?

Testimonialnya agak memberangsangkan kerana pernah mewakili kelab Liga Jepun, Tokyo Verdy, selama dua musim di antara 2019-20 dengan membuat 21 penampilan sebelum menjaja bakatnya di Qingdao, Shandong, China.

Paraiba

Paraiba hanya tampil dalam 14 perlawanan bersama Sabah FC.

Cuma, sayang sekali khidmatnya terbatas kepada hanya 14 penampilan bersama Sabah FC sebelum kelibatnya ghaib entah ke mana.

Sumber-sumber berkongsi dengan Bola Pegun bahawa pemain sayap berusia 33 tahun itu suatu ketika amat lantang terhadap Kim Swee dengan mempersoalkan kredibiliti, pemilihan serta strategi yang diterapkan jurulatih itu.

Hairannya ini berlaku tidak lama selepas kekalahan 1-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 2 Jun lalu apabila Jailton dikhuatiri mengalami kecederaan serius selepas berlaga dengan pemain pertahanan tuan rumah, Bojan Ciger, sehingga dikejarkan dengan ambulans ke hospital.

Sekembali dari Semenanjung, yang didahului oleh satu lagi kekalahan 0-1 kepada PDRM FC pada 8 Jun, Jailton dikatakan menunjukkan ‘belang’ sebenarnya dengan cuba menghasut rakan-rakan sepasukan terhadap Kim Swee.

Alasannya ialah dia tidak berpuas hati dengan minit-minit yang terhad di samping kekecewaannya sendiri gagal menemui jaring sebagai pemain barisan serangan.

Menurut sumber-sumber itu lagi, jurulatih berkenaan segera menurunkan pangkat pemain itu ke pasukan Bawah 23 tahun negeri sebelum dia akhirnya angkat kaki tidak lama kemudian.

Namun, sebelum itu Jailton sempat memuat naik satu hantaran di Instagram miliknya dengan memaklumkan kepada penyokong bahawa dia dalam keadaan baik – mungkin mahu menutup cerita sebenar.

Machado

Machado menjaringkan 13 gol dalam 19 penampilan bersama Sabah FC.

Malah, Kim Swee juga pernah berkongsi dengan Laptop Cabuk sebelum ini betapa dia berasa serik dengan beberapa penyerang asing yang datang dengan testimonial memberangsangkan tapi nyata mengecewakan setelah menyertai pasukan.

Kehilangan Jailton bagaimanapun tidak membawa apa-apa kerugian bagi Sabah FC berikutan kegagalannya menyumbang walau satu gol pun dalam 14 perlawanan – seakan-akan mengulangi cerita bagaimana dia meninggalkan sebuah lagi kelab liga professional China, Dalian Transcendence, dengan ditamatkan kontrak pada 2017.

Daripada ia dianggap satu musibah, perkembangan seterusnya ternyata membawa rahmat buat The Rhinos apabila Kim Swee memanfaatkan jendela perpindahan kedua pada Julai untuk membawa masuk penyerang dari kelab Azerbaijan, Qabala SC, Ramon Machado, dan bekas pemain Kelantan FC, Miguel Cifuentes.

Secara beransur-ansur, kebimbangan jurulatih itu terhadap pasukannya yang mudah dibolosi setiap kali mendahului, terutama di gelanggang sendiri, dapat diatasi.

Malah, Machado tampil antara penggempur paling berbisa dalam liga dengan sumbangan sembilan gol dalam 11 perlawanan, termasuk satu golnya dalam kemenangan 2-0 ke atas KDA FC di Stadium Likas Kota Kinabalu 17 Disember lalu yang mengesahkan kedudukan Sang Badak di tangga ketiga liga.

Selepas beberapa lama mencongak tangga keempat, Kim Swee dapat bersandarkan kepada cabaran mereka yang memuncak pada penghujung musim untuk berupaya mengulangi pencapaian di tangga ketiga seperti musim lalu.

“Ada banyak faktor sebenarnya tapi penentangan yang cuba dimulakan oleh Jailton ternyata menjadi antara titik peralihan yang membawa perubahan kepada corak cabaran Sabah FC di samping Kim Swee yang sentiasa mengutamakan disiplin dalam pasukan,” kata sumber-sumber itu lagi.

Malah, dengan Sabah FC layak akan beraksi di peringkat separuh akhir Zon Asean bagi Piala AFC tahun depan, bolehlah diyakini yang mereka akan kekal selaku antara pencabar dalam liga, tambahan dengan langkah-langkah penambahbaikan yang akan dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram