Saya mahu kekal di sini, tetapi pilihan bukan di tangan saya — Sony Norde


  • Podium
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Sebahagian besar penyokong Sang Penyu berharap supaya Sony kekal bersama mereka musim depan. — Facebook/Terengganu FC

KEPERCAYAAN diletakkan ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Stenibruckner terhadap dua penyerang import, Sony Norde dan Ivan Mamut cukup membuahkan hasil musim ini.

Gandingan yang kadang-kadang digandingkan dengan Adisak Kraisorn atau Nik Sharif Hassefy untuk melengkapkan serangan tiga serangkai itu merupakan pelan utama skuad Sang Penyu di peringkat domestik mahupun Asia.

Meskipun sedikit malap dalam saingan Liga Super, kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting sepanjang kempen Piala FA dan Piala Malaysia mereka.

Jadi, harapan besar diletakkan penyokong terhadap pihak pengurusan kelab Pantai Timur berkenaan untuk memastikan Sony dan Ivan Mamut kekal dalam skuad kendalian Tomislav musim depan.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan duo berbisa itu bersama Terengganu FC untuk semusim lagi seperti tidak kesampaian apabila khabar angin kuat mengatakan kelab berkenaan mahu mengurangkan kos operasi pada 2024.

399337823_323539183720856_9114182680235469666_n

Sony (depan) merupakan tonggak utama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Dalam merealisasikan objektif itu, terdapat laporan mengatakan beberapa import Sang Penyu, termasuk Sony bakal dilepaskan pada jendela perpindahan kali ini.

Kehilangannya dikhuatiri hanya akan menjejaskan prestasi jentera serangan pasukan dengan khabar angin mengatakan Ivan Mamut bakal dikekalkan.

Tetapi, dengan tempoh pendaftaran pemain hanya akan dibuka pada April, sebahagian penyokong masih optimis bahawa pemain kelahiran Haiti itu masih mempunyai tempat dalam skuad Sang Penyu.

Namun, dalam satu perkembangan baharu, Sony tampil memberi jawapan mengenai masa depannya dengan Terengganu FC setelah soalan mengenai hal itu diajukan kepadanya menerusi laman Instagram.

"Kita hanya boleh berharap kepada apa yang terbaik. Saya mahu kekal di sini, tetapi ia tidak bergantung kepada saya. Hanya pihak pengurusan boleh membuat keputusan.

WhatsApp Image 2023-12-23 at 19.16.39

Respons diberikan Sony kepada penyokong yang bertanya mengenai masa depannya bersama Terengganu FC. Facebook/Rayyan Jasli

"Sehingga kini, mereka masih belum menawarkan kontrak kepada saya. Jadi, kita hanya boleh menunggu," katanya seperti mana dikongsikan Rayyan Jasli di laman Facebook Terengganu FC.

Sony sebelum ini disambar skuad Sang Penyu selepas kontraknya bersama Melaka United tamat dengan dia dilihat pengganti terbaik kepada pemain sayap, Faisal Halim.

Kehadirannya boleh dianggap satu rahmat buat Terengganu FC setelah dia merekodkan 34 penampilan dalam kesemua pertandingan dengan sembilan gol dan 12 bantuan jaringan dicatatkan.

Selain mempunyai kelincahan dalam melancarkan serangan, pemain berusia 34 tahun terbabit juga memiliki struktur fizikal cukup baik untuk menepis asakan pihak lawan.

Sony bukanlah satu-satunya pemain import yang dikhabarkan bakal dilepaskan Terengganu FC dengan ura-ura menyebut kapten pasukan, Habib Haroon dan bek tengah, Sardor Kulmatov terpaksa mencari majikan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram