HASRAT untuk menyaksikan penyerang import Selangor FC, Ayron del Valle meneruskan perjuangan bersama Gergasi Merah pada musim depan nampaknya tidak akan tercapai selepas laporan mengenai perpindahannya ke kelab lain semakin hangat diperkatakan.
Sebelum ini pemain berusia 34 tahun itu difahamkan sedang dipantau oleh sebuah kelab berpangkalan di Columbia selepas satu ciapan maklumat mengenai Ayron dimuat naik oleh wartawan media negara berkenaan, Mariano Olsen pada laman X.
Perkembangan terbaharu lebih menyakitkan penyokong apabila penjaring terbanyak Gergasi Merah pada musim ini itu difahamkan sudah bersetuju untuk berhijrah ke kelab baharu iaitu kelab division satu Colombia, Atletico Bucaramanga.
“Menurut sumber yang rapat dengan kelab itu, Atletico Bucaramanga telah mencapai persetujuan dengan penjaring Colombia Ayron Del Valle, yang tiba secara percuma dari Selangor FC.
“ ’AyronMan’ akan menandatangani perjanjian selama dua musim dan akan dibentangkan minggu depan,” memetik ciapan dari wartawan media Colombia, Luchotrabado pada platform X.
Tangkap layar ciapan dari Luchotrabado pada platform X.
Meskipun tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak pengurusan Selangor FC namun pemergian Ayron sememangnya diratapi penyokong Gergasi Merah dengan dia antara pemain utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam membantu mereka mendapatkan 17 kemenangan daripada 23 perlawanan liga.
Setakat 23 perlawanan Liga Super sekas penyerang Once Caldas itu diturunkan, Ayron sudah meledak 21 jaringan untuk Gergasi Merah dan namanya disebut-sebut akan merangkul Anugerah Kasut Emat pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK 2023) nanti.
Ayron mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super, diikuti import Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri serta Bergson da Silva yang masing-masing mencetak 19 dan 17 jaringan gol.
Sedikit maklumat mengenai bakal majikan baharu Ayron itu, Atletico Bucaramanga kini menguni kedudukan ke-11 liga dari 20 pasukan bertanding dan kehadiran pemain Selangor berkenaan dijangka menambah sengat di bahagian serangan mereka.
Penyerang utama Atletico Bucaramanga iaitu Emanuel Zagert dilihat kurang efektif dalam menjalankan peranannya untuk menambah jumlah jaringan gol buat pasukan tersebut.
Berdasarkan laman Transfemarkt, pemain Argentina itu baru mencetak dua jaringan gol dalam enam perlawanan dia diturunkan bersama Atletico Bucaramanga dan ia jelas tidak menggembirakan penyokong kelab berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram