
SETIAP pemain bola sepak mempunyai keinginan tinggi untuk sentiasa menjadi pilihan jurulatih dan sekali gus dapat mengumpul minit permainan yang banyak bagi membantu mengekalkan prestasi mereka.
Sekiranya hanya mendapat peluang yang sedikit dengan bermain dalam tempoh singkat, pasti perkara itu akan menjatuhkan moral pemain dan seakan-akan petanda jurulatih tidak mempunyai keyakinan terhadap mereka.
Situasi berkenaan baharu sahaja terjadi kepada pemenang anugerah Golden Boy 2016, Renato Sanches apabila hanya sempat beraksi selama 18 minit sebagai pemain gantian dalam perlawanan As Roma menentang Bologna pada Isnin.
Dengan kelab gergasi Itali itu sudah ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, pengendalinya, Jose Mourinho memilih untuk memasukkan pemain pinjaman Paris Saint-Germain, Sanches ke dalam skuad.
Ketika skuad kendalian Mourinho kemudian ketinggalan 2-0 pada empat minit separuh masa kedua, bekas jurulatih Chelsea itu tahu ada perubahan perlu dilakukan terhadap corak permainannya.
Pengendali berusia 60 tahun itu akhirnya memilih untuk mengeluarkan Sanches yang baru beraksi selama 18 minit dan digantikan dengan pemain muda Itali, Edoardo Bove.
Sanches meraih anugerah Golden Boy Eropah pada 2016 ketika menyarung jersi Bayern Munich. — Agensi
Menerusi video tular, Sanches kelihatan benar-benar tercengang apabila melihat papan penggantian berkenaan kerana pastinya pemain berusia 26 tahun tersebut masih belum puas menunjukkan skil dan kebolehannya dalam membantu AS Roma.
Tidak menunggu lama untuk mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan tersebut, Mourinho tampil meminta maaf kepada Sanches dan menjelaskan bahawa situasi permainan memaksnya melakukan perkara tersebut.
"Saya minta maaf. Kali terakhir saya melakukan ini kepada pemain sebelum Renato ialah Nemanja Matic, dan saya amat kesal tentang perkara ini. Saya terpaksa membuat keputusan ini.
“Kami sentiasa berfikir bahawa ruang, tanggungjawab tertentu dan adrenalin adalah cara yang ideal untuk membantu Renato selepas kecederaannya sebelum ini.
"Dia bekerja pada intensiti rendah. Dia bertambah baik dari segi work rate tetapi tidak pernah dalam intensiti. Dalam perlawanan terakhir menentang Sheriff dia beraksi selama 60 minit.
“Hari ini (Isnin saya terfikir untuk memasukkannya kerana pasukan boleh mendapat manfaat daripada kualitinya,” jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram