MFL tampil jawab soalan Fandi Ahmad, jadual musim 2024 bakal diketahui tidak lama lagi


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Fandi sebelum ini ingin meluahkan pendapatnya ingin mengetahui tarikh musim depan lebih awal untuk mempersiapkan pasukan. — Facebook/SriPahang

"JANGAN risau, tarikh sepak mula akan diumumkan tidak lama lagi".

Itu jaminan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam selepas jurulatih Pahang, Fandi Ahmad mempersoalkan mengenai perkara berkenaan.

Fandi sebelum ini ingin mengetahui tarikhnya lebih awal supaya pengendali kelahiran Singapura berkenaan boleh membuat perancangan lawal untuk pasukannya musim depan.

Musim baharu dijangka bermula pada bulan April namun sehingga kini tiada tarikh tertentu diberikan oleh pengelola bola domestik berkenaan.

Stuart meredakan kebimbangan itu dengan mengatakan bahawa pasukan akan mengetahui butiran mengenai tempoh sepak mula dan jendela perpindahan dalam tempoh empat hingga lima hari akan datang kerana musim tahun ini baru sahaja berakhir pada 17 Disember lepas.

“Kami boleh memberi jaminan bahawa tarikh itu akan dikeluarkan dalam tempoh empat hingga lima hari akan datang. Tiada kelewatan. Mereka akan tahu bila hari pembukaan liga tahun depan dan juga tempoh jendela perpindahan.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan CEO kelab masing-masing beberapa bulan lalu dan mereka sedar bahawa liga akan bermula pada April.

“Kami memberitahu mereka bahawa kami akan memberikan tarikh pembukaan beberapa hari selepas hari perlawanan akhir musim 2023. Ia akan diketahui umum tidak lama lagi,” jelasnya.

BACA LAGI: Fandi Ahmad gesa MFL keluarkan jadual musim 2024 lebih awal

MFL STUART

Stuart (tengah) memaklumkan akan mengumumkan tarikh sepak mula pada musim depan dalam masa terdekat ini.

Stuart berkata, mereka mengambil pendekatan yang sama tahun lepas apabila mereka mengeluarkan tarikh baharu pada 1 Disember selepas musim domestik berakhir dengan final Piala Malaysia pada 26 November.

Banyak pasukan mengeluh bahawa memulakan liga pada bulan April akan menjadi sukar bagi mereka dari segi kewangan kerana mereka akan mempunyai pramusim yang lebih lama dan itu bermakna mereka perlu membayar gaji pemain untuk tempoh tidak aktif apabila musim bermula kemudian.

CEO MFL tersebut bagaimanapun berkata, pemimpin setiap kelab Liga Malaysia memahami keperluan untuk perubahan permulaan musim.

Beliau berkata, MFL akan membuat perubahan dalam jadual pertandingan mereka supaya ia sejajar dengan kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan memastikan jendela perpindahan Liga-M selaras dengan liga antarabangsa.

“Saya bertemu semua orang secara individu, CEO dan wakil kelab, dan mereka memahami keperluan untuk perubahan. Kami perlu mengambil tempoh peralihan terpantas untuk memastikan kami bagus untuk musim depan. Ia akan membantu dalam jangka masa panjang,” jelasnya.

Sementara itu, nasib Kelantan dalam Liga Super akan diketahui akhir minggu ini manakala First Instance Body (FIB) MFL juga sedang mengkaji Kelantan United kerana tidak membayar gaji kepada pemain mereka.

"Kami akan mengadakan mesyuarat akhir minggu ini untuk membincangkan kedua-dua pasukan ini dan kemudian membuat keputusan," kata Stuart. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram