Petanda Romel Morales ke JDT semakin jelas, 2 gergasi Utara ‘rebut’ khidmat Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Ahad, 17 Dis 2023

Syafiq (kanan) sebelum ini beraksi bersama Kedah sebelum menyertai JDT pada 2018.

JOHOR DARUL TAKZIM (JDT) menjadi satu-satunya pasukan yang mencatat sejarah menjulang trofi Liga Super selama sedekad yang tidak pernah dicipta oleh mana-mana pasukan bola sepak dalam negara ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menjadi individu penting di sebalik kejayaan JDT dalam membangunkan jenama Harimau Selatan sehingga terkenal di seluruh dunia pada hari ini.

Dengan kemasyhuran yang dicipta TMJ itu pastinya ia mudah untuk menarik minat ramai pemain bola sepak tempatan mahupun import untuk beraksi bersama JDT.

Namun, persekitaran JDT yang penuh kompetitif itu pastinya ada pemain sukar untuk menembusi kesebelasan utama ataupun mendapat minit permainan jika gagal mempamerkan aksi terbaik semasa sesi latihan.

Perkara ini berlaku kepada penyerang kebangsaan, Muhd Syafiq Ahmad yang gagal menyaingi kehebatan penjaring terbanyak Liga Super 2022, Bergson da Silva apabila pemain kelahiran Brazil itu sering kali menjadi pilihan utama ketua jurulatih.

WhatsApp Image 2023-12-17 at 8.30.12 AM

Perkongsian Zulhelmi Zainal Azam dalam laman X.

Mengetahui keadaan semasa Syafiq, pemain berusia 28 tahun itu mula menjadi buruan kelab-kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) yang mahu menggunakan khidmatnya.

Menerusi perkongsian pemerhati bola sepak, Zulhelmi Zainal Azam dalam laman X, Syafiq difahamkan akan pulang ke pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC bagi saingan musim depan.

Tetapi Perak FC juga memantau situasi Syafiq selepas dikhabarkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu bakal mendapatkan khidmat dua pemain JDT secara pinjaman iaitu Adam Nor Azlin dan Muhd Haziq Nadzli pada musim depan.

Perpindahan Syafiq ke kelab lain tidaklah mengejutkan sebenarnya selepas dia kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan, sekali gus digugurkan dalam senarai 25 pemain kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Asia 2022 pada tahun depan.

Dengan TMJ sendiri memberi gambaran penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales akan menyarung jersi Harimau Selatan musim depan, ia sekali gus menambah kesukaran buat Syafiq untuk terus meraih tempat dalam skuad utama JDT selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram