Perlu ada duit baru nak buat aktiviti? Ketahui 6 hobi yang boleh dibuat dengan santai dan jimat


  • Hobi
  • Selasa, 19 Dis 2023

Terdapat banyak hobi murah dan menyeronokkan seperti aktiviti berbasikal.

SUDAH pasti setiap individu memiliki hobi tersendiri yang dapat dilakukan pada waktu lapang terutama pada hujung minggu.

Dengan memiliki hobi, seseorang dapat mengelakkan diri daripada berasa bosan pada waktu senggang.

Hobi tidak semestinya memerlukan kos perbelanjaan yang besar kerana banyak aktiviti menarik yang menjimatkan kos dapat dibuat.

Lebih menarik, hobi ini dapat dilakukan secara santai bersama rakan-rakan dan keluarga tercinta.

Terdapat enam hobi yang mungkin memberi inspirasi buat seseorang di luar sana bagi mengisi masa terluang seperti:

maxresdefault_(1)

By My Side merupakan salah satu movie dokumentari yang popular.

1. Menonton dokumentari

Hobi menyaksikan dokumentari adalah sesuatu hal yang mudah dilakukan pada bila-bila masa menerusi tontonan yang dibuat di televisyen atau di laman web Youtube.

Menonton dokumentari merangkumi pelbagai tajuk menarik seperti sejarah kehidupan, asal usul dan peristiwa yang berlaku pada masa tertentu.

Aktiviti ini membolehkan seseorang untuk mengetahui secara terperinci artis kegemaran, penulis tersohor dan tokoh ternama yang pernah disebut dalam dokumentari yang ditonton.

Di samping itu, dapatlah menimba ilmu baru dan mencari inspirasi serta iktibar dari kisah di dalam dokumentari tersebut.

Mountain guides in Austria are seeing a growing demand for their services. — Salzburger Bergsportführerverband/dpa

Aktiviti mendaki bukit atau gunung merupakan aktiviti lasak yang menjadi pilihan ketika ini.

2. Hiking atau mendaki

Tidak dinafikan, aktiviti hiking (mendaki) bukit ataupun gunung semakin menjadi kegilaan ramai.

Bukit ataupun gunung kini menjadi destinasi riadah yang dilakukan pelbagai peringkat umur, termasuk di kalangan orang berumur dan kanak-kanak.

Aktiviti ini kebiasaannya dilakukan bersama rakan-rakan dan keluarga terdekat pada hujung minggu atau waktu lapang.

Antara tempat mendaki gunung yang popular di negara ini adalah seperti Gunung Tahan, Pahang ; Bukit Broga, Semenyih; Gunung Lambak, Johor; Bukit Jugra, Selangor dan Mossy Forest, Cameron Highland.

Aktiviti luar seperti ini juga dapat menyumbang kepada gaya hidup sihat yang sering menjadi faktor penting dalam penjagaan kesihatan seorang manusia.

Hal ini kerana, aktiviti mendaki juga mampu memantapkan kesihatan dari segi fizikal dan mental kepada seseorang.

3. Bercucuk tanam

Hobi bercucuk tanam boleh menjadi terapi buat mereka yang menyukai alam semulajadi.

Caranya ialah membeli beberapa biji benih yang murah mengikut kegemaran dan menanamnya di tempat yang sesuai.

Sesetengah orang yang memiliki hobi bercucuk tanam gemar meluangkan sedikit masa mereka dengan menjaga dan menghargai tumbuhan seperti menjaga diri sendiri.

Dari situ, seseorang memiliki rasa seronok apabila melihat tumbuhan yang ditanam bertumbuh menjadi besar dan sihat.

4. Mendengar muzik

Seseorang yang suka akan muzik akan gemar menggunakan masa terluang untuk mencari genre yang diminati di laman seperti Youtube, Spotify dan Joox.

Hobi mendengar muzik juga membolehkan seseorang berasa tenang, mengimbau nostalgia hinggakan ada yang senyum sendirian.

Muzik juga secara amnya boleh menghilangkan stress setelah seharian bekerja atau belajar.

2444566 (1)

Sukan badminton merupakan aktiviti santai yang digemari sejak dahulu lagi.

5. Bermain badminton

Sukan badminton sememangnya sudah tidak asing lagi di negara kita sejak bermulanya zaman anak-anak Sidek sehinggalah zaman kegemilangan hero kebanggaan negara, iaitu Datuk Lee Chong Wei.

Badminton menjadi sukan kegemaran ramai tidak mengira peringkat umur dan bangsa kerana ianya sukan yang mudah dipelajari dan seronok disamping membantu mengekalkan gaya hidup sihat.

Lebih menarik, sukan badminton dikatakan membantu pembakaran kalori yang paling banyak sehingga 450 kalori berbanding bila anda berlari, menyelam atau bermain bola sepak.

6. Berbasikal

Hobi kegilaan ramai tidak lain tidak bukan adalah aktiviti berbasikal.

Berbasikal juga merupakan salah satu hobi yang dapat dilakukan pada bila-bila masa terutama hujung minggu.

Aktiviti berbasikal bukan sahaja terkenal sering dilakukan oleh kaum lelaki bahkan kaum wanita juga ramai yang terjebak dengan aktiviti ini.

Aktiviti berbasikal pada zaman dulu sudah tidak sama lagi seperti sekarang kerana kecanggihan kerangka basikal model baharu jauh lebih ringan berbanding ‘basikal tua’.

Oleh itu, semakin ramai belia yang mencuba aktiviti berbasikal ini serta banyak taman-taman dengan kemudahan trek basikal telah dibuka dan disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memenuhi keperluan hobi baharu ini.

Antara tempat menarik bagi penggemar aktiviti berbasikal adalah di Taman Wetland, Putrajaya; Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor; Taman Tasik Shah Alam, Selangor dan Taman Tasik Seremban, Negeri Sembilan.

Kesemua tempat ini popular kerana memiliki trek laluan untuk melakukan aktiviti berbasikal dengan mudah di samping tidak memerlukan kos yang banyak kerana kemasukan ke tempat itu yang dibuat secara percuma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram