Bukan duo JDT sahaja laris, 3 pemain kelab belasahan jadi rebutan pasukan Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 17 Dis 2023

Akhyar dan Safawi dikaitkan akan berhijrah ke TFC pada musim depan. — Facebook/JDT

SEKALIPUN tarikh rasmi jendela perpindahan belum diumumkan lagi namun kehangatan khabar angin pemain menjadi tumpuan terutamanya apabila saingan Liga Super bakal menutup tirainya pada hujung minggu ini.

Perpindahan nama-nama besar dari kelab gergasi tanah air antara fokus utama penyokong, yang mana rata-rata pengikut bola sepak tanah air menunggu untuk melihat pemain impian mereka menyarung jersi pasukan kesayangan pada musim depan.

Misalnya, duo penyerang sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid dikaitkan akan berhijrah ke Terengganu FC (TFC) pada musim depan bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu dalam saingan domestik musim 2024.

Info mengaitkan Akhyar dan Safawi itu bagaimanapun masih berstatus khabar angin kerana belum ada lagi pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak berkenaan perpindahan tersebut.

Selain perebutan pemain popular, tonggak kelab pertengahan liga seperti PDRM FC, Negeri Sembilan FC (NSFC), Penang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC juga tidak terkecuali menjadi rebutan beberapa pasukan termasuklah kelab empat teratas liga.

Konsisten memberi persembahan secara individu, mempunyai kelebihan tersendiri dan sumbangan besar kepada kelab antara faktor para pemain berkenaan menjadi tumpuan untuk dibawa masuk ke kelab baharu pada musim depan.

Lupakan seketika khabar angin duo Harimau Selatan tersebut ke Terengganu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain dari kelab belasahan yang kian naik saham dan menjadi rebutan pasukan lain;

1) Khatul Anuar

WhatsApp Image 2023-12-16 at 21.29.47-2

Khatul sempat menabur bakti selama dua musim bersama Penang FC. — Facebook/PenangFC

Bekas penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar membuktikan dirinya masih laku di pasaran selepas difahamkan pemain berusia 26 tahun itu sedang diintai oleh Sri Pahang dan Kelantan United FC (KUFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Baru-baru ini, Khatul sah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Kumbang menerusi platform X miliknya selepas dua musim menabur bakti menjalankan tanggungjawab sebagai benteng terakhir pasukan berkenaan.

Khatul yang tiba ke bumi George Town pada musim 2022 itu berharap untuk membina semula kariernya di Liga Malaysia (Liga M) selepas hanya memanaskan bangku simpanan bersama skuad Warga Kota untuk saingan 2018 hingga 2021.

Walaupun musim ini Khatul tidak mendapat peluang sebagai penjaga gawang utama namun tidak dinafikan pemain berketinggian 1.78 meter berkenaan berhasil mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Penang FC untuk musim 2022 dengan tampil dalam 12 perlawanan.

2) Tommy Mawat

WhatsApp Image 2023-12-16 at 21.29.46-3

Tommy mula menyarung jersi skuad Jang pada awal musim ini. — Facebook/NSFC

Bekas prospek Sarawak FC, Tommy Mawat ternyata masih mampu bersaing sebagai pertahanan popular tanah air selepas timbul khabar angin akan menjadi pengganti Azam Azmi dan pengalamannya akan digunakan di bahagian bek kanan pada musim depan.

Pemain kelahiran Belaga, Sarawak yang sebelum ini beraksi dengan Sabah FC di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berhijrah ke Negeri Sembilan pada jendela perpindahan awal musim 2023.

Meskipun namanya bukanlah sepopular pertahanan Liga Malaysia lain namun kualiti dari segi ketangkasan dan kepantasan larian yang ada pada diri Tommy nampaknya cukup baik untuk menjadi rebutan kelab.

Selain Terengganu, pemain berusia 28 tahun berkenaan juga dikatakan dalam perancangan Perak FC musim depan dengan pengalamannya akan membantu ubi muda The Bos Gaurus.

3) James Okwuosa

WhatsApp Image 2023-12-16 at 21.29.47

Okwuosa (kanan) ketika cuba merantai penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson. — Facebook/JDT

Pertahanan berusia 32 tahun dari Nigeria, James Okwuosa merupakan tonggak penting untuk skuad The Cops ketika ini dengan dia tampil dalam 22 perlawanan Liga Super.

Kehadiran pemain berketinggian jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang dilihat sukar dibolosi pada pusingan kedua Liga Super.

Okwuosa juga membantu PDRM FC muncul juara Piala Cabaran buat kali pertama selepas menewaskan Kuching City 4-1 secara agregat pada aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching pada awal Disember lalu.

Menurut ciapan dari wartawan The Star, T. Avineshwaran, pemain pertahanan The Cops itu dikatakan sedang dipantau oleh pasukan Kuching City namun majikannya masih mahu menggunakan khidmatnya pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram