SELANGOR FC berputih mata apabila dikhabar sah bakal kehilangan penyerang prolifik mereka, Ayron del Valle pada penghujung musim ini selepas pemain Colombia itu difahamkan sudah menamatkan kontrak bersama Gergasi Merah.
Dalam perkembangan terbaharu yang dilaporkan pengamal media Colombia, pemain berusia 32 tahun itu bukan hanya mendapat tawaran kelab berpangkalan di negara kelahirannya tapi juga dari Timur Tengah.
“Ayron Del Valle akan bermain perlawanan terakhirnya untuk Selangor FC pada Ahad. Pemain import dan penjaring terbaik dalam Liga Super Malaysia menamatkan kontraknya dan akan kembali ke Colombia untuk menilai tawaran daripada FPC dan Timur Tengah,” tulis wartawan Colombia, Mariano Olsen di platform X.
Sebelum ini, Mariano Olsen memaklumkan bahawa pemain yang sudah mencetak 22 gol setakat 25 perlawanan Liga Super berkenaan mendapat tawaran daripada Football Profesional Colombiano (FPC) untuk memperkuatkan serangan pasukan berkenaan.
Dalam perkembangan berbeza, Gergasi Merah juga nampaknya dilanda kekecewaan apabila penyerang buruan mereka iaitu Ramon Machado akan terus kekal bersama Sabah FC dan ia sekali gus menutup pintu Selangor untuk mendapatkannya.
Ramon merupakan antara penyerang berkualiti dimiliki pasukan The Rhinos musim ini. — Facebook/SabahFC
Selepas membantu serangan Sabah FC dengan mencetak 12 jaringan gol dalam semua pertandingan disertai The Rhinos, Gergasi Merah dilapor antara kelab yang berminat untuk memancing pemain dari Brazil itu.
Terdahulu, menerusi laman penyokong bola sepak tanah air, Malayantigersfans menyatakan bahawa tonggak import itu berkemungkinan tidak akan menyambung perjuangan bersama The Rhinos sekiranya tiada sepakatan mengenai kontrak antara mereka dengan pihak pengurusan Sabah FC.
Dengan status terkini kedua-dua pemain itu, nampak gayanya Selangor perlu membuat senarai calon penyerang baharu dałam dan luar negara untuk dipertimbangkan menyertai Gergasi Merah pada musim depan.
Antara yang boleh dipertimbangkan untuk membantu beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) ialah pemain kelahiran Brazil, Pedro Henrique Perotti yang merekodkan 34 gol dalam 109 penampilannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram