PENYOKONG Indonesia tak senang duduk apabila muncul khabar angin mengatakan prospek warisan sensasi pasukan kebangsaan mereka, Justin Hubner dałam radar kelab gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
Bek tengah yang kini beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers bawah 21 tahun itu baru sahaja menerima kerakyatan Indonesia selepas mengangkat sumpah sebagai warganegara negara berkenaan pada awal Disember lalu.
Hubner yang difahamkan mempunyai darah Indonesia daripada datuknya, Ferdinand Rudolf Hubner itu nampaknya terbuka untuk menyarung jersi Indonesia dan sekali gus berpeluang membantu pasukan berkenaan di Piala Asia nanti.
Ketua pasukan skuad muda Wolverhampton itu bagaimanapun akan mengecewakan pengikut bola sepak Indonesia sekiranya dia mempunyai perancangan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M) selepas desas-desus mengaitkannya dengan JDT dan Selangor.
Meninjau ruangan media sosial penyokong skuad Sang Garuda, rata-ratanya merayu agar pemain warisan Belanda-Indonesia itu meneruskan kariernya di bumi England ataupun Eropah bagi membantu menambah baik bakat dan potensi sedia adanya.
Menurut penyokong bola sepak negara tersebut, jika Hubner memilih beraksi di liga Asia Tenggara seperti saingan Liga M, ia hanya merugikan masa mudanya untuk terus memiliki karier lebih menjamin masa depannya.
Hubner (depan) juga merupakan ketua pasukan skuad muda Wolverhampton. — Instagram/Hubner
“Kalau itu benar, sebaiknya jangan terima. Hubner hanya akan mengalami penurunan kualiti,” kata penyokong Indonesia, Emrick Andriel Sihotang.
“Janganlah terima Justin. Keep stay in English Premier League. Kalau mahu beraksi di Asia, di kelab Al-Nassr atau kelab Jepun,” pendapat penyokong Sang Garuda, Tan Pence Sulistiyo.
“Semoga Justin tidak tertarik walaupun ditawarkan dengan gaji lumayan. Jangan jadi seperti Jordi Amat, pada awalnya bagus tapi lepas main Liga Malaysia jadi downgrade,” tambah penyokong, Azka Rizky.
Situasi menimpa Hubner itu adalah seperti siaran ulang tayang ketika Jordi memutuskan untuk menerima talarna daripada Harimau Selatan pada 2022, yang mana sebelum ini ramai penyokong Indonesia membantah dengan keputusannya.
Untuk rekod, Hubner juga sebelum ini mendapat peluang dinaikkan pangkat dari pengurus Wolverhampton Wanderers, Gary O’Neil untuk ke skuad utama bagi perlawanan EPL menentang Arsenal.
Selain terkenal dengan beraksi sebagai pemain Wolverhampton, Hubner turut pernah memakai lilitan kapten untuk skuad kebangsaan Belanda bawah 20 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram