Sabah boleh jadi wakil ketiga Malaysia di kejohanan Asia musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Sabah perlu menang Piala AFC pada musim ini untuk kembali ke Asia musim depan. — Facebook.

MUSIM ini, Sabah FC menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang layak ke peringkat kalah mati kejohanan Asia selepas mengungguli kumpulan mereka dalam Piala AFC.

Bakal bertemu wakil Australia, Macarthur FC di peringkat separuh akhir zon Asean, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berpotensi untuk mara jauh dan mengintai peluang menjadi juara di Asia.

Musim ini bakal menyaksikan negara kita akan mempunyai tiga wakil di kejohanan Asia buat kali terakhir. Hal ini kerana, bermula musim depan, Malaysia cuma ada dua slot untuk beraksi di kejohanan Asia.

Menurut ketetapan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia diberikan dua slot iaitu satu untuk kejohanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang dimiliki Johor Darul Takzim (JDT) sebagai juara Liga Super.

410791798_746915977475096_2524296598115077960_n

Sabah tewas kepada PSM Makassar pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFC. — Facebook/Sabah FC

Satu lagi slot diberikan kepada Selangor FC untuk menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas menamatkan liga sebagai naib johan.

Namun begitu, Malaysia masih lagi berpeluang untuk mempunyai tiga pasukan di Asia musim depan seandainya Sabah berjaya beraksi cemerlang dalam edisi terakhir Piala AFC.

Caranya bagaimana? Menurut perkongsian laman JDTFC di Facebook, Sabah boleh menyertai kejohanan Asia pada musim depan sekiranya mereka berjaya menjadi juara Piala AFC musim ini.

Bermula musim depan, saingan ACLE akan melibatkan 24 pasukan. Slot 20 pasukan akan diisi oleh setiap negara yang mempunyai kouta tersebut. Sementara baki empat slot lagi akan diberikan kepada juara ACL dan Piala AFC musim ini.

Juara ACL dan Piala AFC musim ini perlu mengharungi perlawanan play-off terlebih dahulu sebelum berjaya mara ke peringkat kumpulan ACLE.

"Mengikut format terbaru kejohanan 24 pasukan ini, 20 pasukan akan layak secara automatik ke peringkat kumpulan melalui kuota yg telah diberikan AFC kepada setiap Liga.

"Manakala empat lagi slot bakal diisi oleh pemenang peringkat play-off, juara ACL 2023 dan juara AFC Cup 2023," kata laman tersebut.

Berdasarkan situasi tersebut, Malaysia masih mempunyai peluang untuk ada tiga wakil di Asia dengan dua beraksi di ACLE sementara satu bagi ACL2.

Namun, ia memerlukan usaha keras daripada Kim Swee dan para pemain untuk berjaya mara sehingga perlawanan akhir dan menjadi juara. Kuala Lumpur City FC pernah berjaya hingga ke perlawanan akhir pada 2022 namun kecundang kepada Al-Seeb.

Musim 2024/2025 bakal menyaksikan tiga kejohanan peringkat Asia dianjurkan oleh AFC dengan ACLE menggantikan ACL. Sementara ACL2 akan mengambil tempat Piala AFC.

Satu lagi kejohanan adalah Liga Cabaran AFC atau AFC Challenge League (ACGL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram