OKS punca pemain Sabah jadi 'goreng pisang panas' kelab Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Sebahagian pemain The Rhinos dalam radar beberapa kelab Liga Super. — Facebook/SabahFC

SABAH FC kini boleh dianggap antara kuasa besar bola sepak tanah air terutamanya jika melihat persembahan cemerlang mereka di pentas Piala AFC bagi saingan peringkat kumpulan bersama Haiphong FC, PSM Makassar dan Hougang United.

Skuad The Rhinos kini dalam persiapan untuk ke peringkat separuh akhir zon Asean Piala AFC selepas The Rhinos berhasil mengukuhkkan kedudukan di takhta kumpulan H dengan meraih 12 mata hasil empat kemenangan serta tewas dua kali.

Persembahan berkualiti di peringkat Asia dan domestik itu juga membuatkan sebahagian besar pemain Sabah FC semakin hangat di pasaran dengan pelbagai khabar angin mengaitkan tonggak The Rhinos dengan pesaing lain.

Ramon Machado, Daniel Ting, Saddil Ramdani, Rizal Ghazali, Stuart Wilkin dan Miguel Cifuentes antara nama 'panas' yang dicakap-cakap sedang dalam buruan kelab Liga Super bagi saingan musim depan.

Secara sedar ataupun tidak, kualiti kelas 'A' yang ada para pemain berkenaan sedikit sebanyak bertitik tolak daripada didikan Datuk Ong Kim Swee kerana berhasil membentuk karakter setiap pemain The Rhinos.

Perkara berkenaan juga diperakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir yang memberi penghargaan kepada Kim Swee kerana konsisten dalam menguruskan pemain ketika dalam dan luar padang.

WhatsApp Image 2023-12-15 at 20.19.53

Kim Swee musim ini berhasil membawa Sabah ke peringkat separuh akhir zon Asean Piala AFC. — Facebook/SabahFC

"Salah satu faktor ialah Datuk Ong (Kim Swee) dan komitmen pemain itu sendiri. Bila dengan Sabah mereka perform dan bila perform ramai orang (kelab) mengintai lebih-lebih lagi dengan disiplin yang bagus. Memang banyak pemain meningkat dibawah OKS.

"Cara dia mengendali pemain dalam dan luar padang. OKS membuktikan kredibilitinya juga sebagai pengurus pasukan. Kredit bagi dekat OKS, sentuhannya dalam dan luar padang terus konsisten lagi-lagi dihujung musim," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Marzuki juga tidak menafikan khabar angin bahawa ada beberapa kelab cuba merisik pemain The Rhinos dan terdapat juga keadaan yang menyaksikan pasukan tersebut mendekati para pemain itu sendiri.

"Ada kelab yang call sendiri pemain ada yang direct saya. Tapi sekarang tiada tawaran yang hitam putih sahaja," jelasnya.

Selepas tewas di tangan PSM Makassar dengan jaringan 1-3 dalam perlawanan yang diadakan di gelanggang keramat The Rhinos, Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis, Sabah akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram