[VIDEO] Gaji cecah RM1 juta tapi anak didik Teong Kim tak pilih hidup mewah, setia guna telefon pintar pecah


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Muller (tengah) antara watak utama Bayern Munich musim ini. — Agensi

SEORANG pemain bola sepak profesional sememangnya terkenal dengan pendapatan yang lumayan terutamanya jika mereka beraksi bersama kelab gergasi di Eropah ataupun mempunyai reputasi memiliki pelbagai kejuaraan.

Pendapatan mencecah ribuan dan ada juga mendapat jutaan ringgit di Eropah itu membuatkan ramai pemain bola sepak memilih untuk hidup mewah dengan memiliki rumah bak istana, kereta berjenama dan pastinya telefon pintar terkini menjadi pilihan.

Namun suasana hidup mewah sebagai seorang bintang bola sepak itu tidak berlaku kepada pemain antarabangsa Jerman, Thomas Muller apabila dia tular kerana masih menggunakan telefon pintar yang pecah.

Menerusi video yang dimuat naik oleh rakan sepasukannya di Bayern Munich, Leon Goretzka menunjukkan keadaan skrin dan permukaan belakang telefon pintar milik Muller dalam keadaan retak.

Pemain tengah itu merakam Muller semasa makan tengah hari untuk mendedahkan kepada peminat jenis telefon bimbit yang dimiliki oleh pemain sayap Bayern itu dan akhirnya video berkenaan menjadi tular.

"Sudah tiba masanya untuk yang baharu. Bateri sering menjadi panas dan tangan saya panas semasa bercakap dengan seseorang," katanya ketika Goretzka bertanya sama ada telefon berkenaan masih berfungsi.

Kesetiaan pemain sayap berusia 34 tahun itu menggunakan telefon pintarnya mendapat pujian daripada orang ramai kerana Muller memilih untuk hidup bersederhana walaupun mendapat gaji £200,000 (RM1 juta) untuk seminggu.

Pemain yang pernah menjadi anak didik Lim Teong Kim itu baru sahaja membantu Bayern layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan tahun ini adalah musim ke-16 dia bersama kelab gergasi Jerman itu dengan memenangi 12 kejuaraan Jerman dan dua UCL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram