NAMA Johan 'Jojo' Ghazali semakin popular dan menjadi buah mulut orang ramai apabila dia berjaya mencipta beberapa siri kemenangan dalam menumpaskan lawannya di dalam gelanggang ONE Championship.
Oleh kerana itu timbul perdebatan orang ramai mengenai negeri kelahirannya yang mendakwanya berasal dari Kuala Lumpur, ada juga 'claim' anak kelahiran Perak.
Namun, pastinya ramai yang mengatakan Jojo berasal dari Sarawak, negeri tempat tinggalnya sekarang apatah lagi dia fasih berbahasa Melayu Sarawak.
Malah Jojo juga pernah mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia dan menyumbang pingat emas dalam acara disertainya.
Perdebatan negeri asal usul Johan berterusan apabila dia melakar sensasi dengan memenangi semua lima pertarungan yang diharungi di ONE Championship setakat ini.
Ia termasuk kejayaan terkini menumpaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship, 8 Disember lalu.
Menyedari asal usulnya menjadi perdebatan, tiga hari lalu pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching itu tampil dengan video bagi merungkai persoalan dalam kalangan peminatnya.
"Kalau korang (anda) nak tahu aku sebenarnya asal dari mana, datuk aku berasal dari Lenggong, Perak dan bapa aku membesar di KL (Kuala Lumpur). (Tapi) sebenarnya aku orang Malaysia.
"Korang tak patut kisah pun aku dari Perak ke, Semenanjung ke, Sarawak ke, Sabah ke, dari Pulau Pinang ke (sebab) yang penting aku orang Malaysia," katanya.
Dalam video berdurasi enam minit 45 saat itu, Jojo berkata, dia amat bangga menjadi orang Malaysia.
"Aku ada pasport Malaysia, kalau aku pergi fight (bertarung) mana-mana aku bawa bendera Malaysia.
"Memang target (sasaran) nak naikkan nama Malaysia, bukan nak naikkan nama negeri (mana-mana negeri) sebab aku dah fight di pentas dunia dan aku memang nak bawa nama Malaysia," jelasnya.
Dia sempat berpesan kepada peminatnya supaya mengucapkan tahniah atas kapasiti Malaysia apabila dia mencapai kejayaan dalam mana-mana kejohanan yang disertainya.
"Untuk korang yang selalu tanya Johan dari mana lepas tu untuk orang yang selalu komen seperti tahniah anak Perak ke, tahniah anak Sarawak ke, tak perlu lagi.
"Cakap sahaja tahniah anak Malaysia, sebab aku bangga jadi orang Malaysia.
"Kita semua patut bersatu padu tahu awak, sebab tak kisahlah dari negeri mana yang penting aku orang Malaysia," katanya menutup perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram