[VIDEO] 'Budak Milo' sekali lagi jadi orang tengah Mourinho selamatkan AS Roma kutip mata berharga


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tangkap layar momen Rui Patricio menerima nota dari pengutip bola berkenaan (kiri) pada Isnin.

AS Roma mampu merekodkan keputusan seri 1-1 menentang Fiorentina dalam perlawanan Serie A meskipun pasukan kendalian Jose Mourinho itu beraksi dengan sembilan orang pemain sahaja di separuh masa kedua perlawanan di Stadio Olimpico pada Isnin.

Seawal minit kelima, penyerang pinjaman dari Chelsea, Romel Lukaku membuka jaringan seawal lima minit permainan dan keputusan 1-0 bertahan sehingga babak pertama berakhir.

Namun, memasuki separuh masa kedua menyaksikan pemain tengah Roma, Nicola Zelewski dilayangkan kad kuning kedua dan dibuang padang oleh pengadil perlawanan.

Pasukan pelawat juga tidak membuang masa apabila berhasil menyamakan kedudukan apabilan tandukan dari Lucas Martinez Quarta menewaskan Rui Patricio.

Lukaku mengikut jejak langkah Zelewski setelah menerima kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas Christian Kouame pada minit ke-87.

Walaupun nasib kurang menyebelahi Roma namun taktik genius Mourinho membuatkan pasukan kendaliannya bertahan dengan keputusan untuk seri sehingga wisel penamat berbunyi.

Pengurus Portugal itu menarik perhatian apabila dilihat menconteng dan menyerahkan nota kepada ‘budak milo’ ataupun pengutip bola yang kemudian menghantarnya kepada Patricio.

Bekas penjaga gawang Wolves itu melihatnya dan kemudian menyerahkannya semula kepada remaja lelaki berkenaan sebelum meneruskan permainan.

Aksi Mourinho juga tular kerana ia sempat dirakam oleh kamera dan dipercayai mengandungi arahan taktikal kepada Patricio.

Pengutip bola itu berkata, dia akan menyimpan nota itu sebagai kenang-kenangan untuk menandakan detik istimewanya bersama Mourinho.

Ini bukan kali pertama bekas bos Chelsea dan Manchester United itu menggunakan pengutip bola membantunya kerana sebelum ini Mourinho pernah melakukan perkara sama ketika membimbing Tottenham Hotspur.

Sebelum ini, Mourinho menjemput pengutip bola, Callum Hynes makan tengah hari bersama pemain Spurs selepas dia mengembalikan bola dengan pantas untuk gol menentang Olympiakos dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram