PENJAGA gol Penang FC, Khatul Anuar sah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Kumbang selepas dua musim menabur bakti menjalankan tanggungjawab sebagai benteng terakhir pasukan berkenaan.
Berita berkenaan dimaklumkan sendiri oleh penjaga gawang berusia 26 tahun tersebut di platform X, yang mana dia tampil memberi ucapan penghargaan dan selamat tinggal kepada barisan pengurusan dan kejurulatihan Harimau Kumbang.
“Terima kasih pengalaman bersama pasukan ini 2002-2003. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dari segi pengurusan, staf kejurulatihan dan pemain.
“Semoga pasukan ini jadi yang lebih baik di masa depan. Terima kasih untuk segalanya Penang FC,” katanya di ciapan pada Sabtu tersebut.
Sejurus berita perpisahan Khatul itu, PDRM FC seakan-akan menunjuk minat untuk merekrut anak jati Alor Setar, Kedah berkenaan apabila laman Facebook rasmi The Cops memberi komen di hantaran Hot_Ice.
Tangkap layar komen emoji dari PDRM FC pada hantaran berita selamat tinggal Khatul kepada Penang FC.
Juara Piala Cabaran 2023 itu dilihat meninggalkan komen emoji muka kemerah-merahan yang sering ditafsir sebagai berminat kepada sesuatu perkara ataupun bermaksud teruja.
Walaupun ia sekadar komen namun ramai berharap agar pasukan Lembah Klang berkenaan akan menjadi destinasi baharu untuk Khatul dan seterusnya mendapat lebih banyak peluang untuk membina semua namanya sebagai penjaga gol.
Khatul yang tiba ke bumi George Town pada musim 2022 itu berharap untuk membina semula kariernya di Liga Malaysia (Liga M) selepas hanya memanaskan bangku simpanan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC untuk saingan 2018 hingga 2021.
Tidak dinafikan pemain berusia 26 tahun berkenaan berhasil mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Penang FC untuk musim 2022 dengan tampil dalam 12 perlawanan.
Musim 2023 bagaimanapun bukan tahun yang memuaskan untuk Khatul apabila dia hanya diturunkan untuk dua perlawanan bersama Penang FC dan selebihnya, penjaga gol muda, Azfar Arif mendapat kepercayaan pengendali Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid sebelum kedua-dua mereka direhatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram