EMPAT mata yang dikutip daripada dua perlawanan Liga Super membuktikan Penang FC sudah merasai perubahan sejak berada di bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Pengendali yang dilantik dengan status sementara itu seperti tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri meskipun ia merupakan pengalaman pertamanya bersama skuad senior.
Kehadirannya itu turut menyaksikan kehadiran penyokong di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang 3 Disember lalu meningkat semasa skuad Harimau Kumbang berdepan Terengganu FC.
Ia sekali gus menjadi bukti bahawa pelantikan Akmal Rizal sememangnya digemari ramai selepas pasukan Utara tanah air itu berdepan isu konsistensi sepanjang berada di bawah Chong Yee Fatt dan Manzoor Azwira Abd Wahid.

Yee Fatt digugurkan akibat prestasi tidak menentu dalam Liga Super.
Prestasi memuaskan tersebut menyaksikan majoriti besar penyokong Penang FC memasang hasrat untuk menyaksikan jurulatih berusia 42 tahun itu dikekalkan untuk musim akan datang.
Harapan itu seperti turut dirasakan Akmal Rizal yang sebelum ini menegaskan bahawa dia bersedia untuk memikul peranan tersebut secara kekal.
Bagaimanapun, setakat ini, dia mendedahkan bahawa tiada perbincangan sudah dibuat untuk menentukan masa depannya bersama kelab berkenaan.
"Belum ada apa-apa perbincangan lagi setakat ini. Saya akan habiskan perlawanan terakhir Sabtu ini kemudian tunggu perancangan yang akan dilakukan pihak pengurusan," katanya kepada Majoriti.

Skuad Harimau Kumbang dilihat lebih meyakinkan sepanjang berada di bawah kendalian Akmal Rizal. — Facebook/Penang FC
Akmal Rizal dilantik sebagai pengendali sementara skuad Harimau Kumbang selepas membuktikan kebolehannya mengendalikan pasukan belia mereka.
Dia sebelum ini pernah dikaitkan dengan jawatan pembantu jurulatih Harimau Malaya Bawah 23 Tahun (B-23), namun memilih untuk kekal bersama Penang FC.
Dalam pada itu, pengendali terbabit turut mendedahkan bahawa dia tidak menerima tawaran daripada kelab lain kerana dia masih memiliki kontrak setahun dengan pasukan berkenaan.
Pasukan kendalian Akmal selepas ini bakal berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi penutup Liga Super 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
