Tomislav kekal, tapi tak perlu kita caci maki jurulatih lama — Presiden TFC


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tomislav (kiri) dilantik sebagai pengendali skuad Sang Penyu bagi menggantikan Nafuzi. — Facebook/Terengganu FC

KECOH di media sosial ketika ini mengatakan ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain bakal kembali mengemudi pasukan lamanya, Terengganu FC pada musim akan datang.

Laporan itu menyebabkan rata-rata penyokong skuad Sang Penyu mula teruja untuk mengalu-alukan kepulangan pengendali muda itu yang sememangnya disayangi mereka.

Khabar angin tersebut turut menyaksikan rata-rata pengikut skuad Sang Kenari mula cemas apabila kehilangan Nafuzi dijangka akan mengganggu usaha yang dibuatnya musim ini.

Bagaimanapun, ura-ura itu segera dijawab beberapa pihak, termasuk Terengganu FC sendiri yang menolak kepulangan Nafuzi dalam saingan Liga Super 2024/25.

Tidak cukup dengan itu, tampil memberikan respons mengenai perkara tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya pada Selasa.

409440902_951994949620320_6374927080088390491_n

Foto yang dikongsikan memaparkan Hishamuddin (kanan) bersama Tomislav.

Hantaran yang dibuat berserta sekeping gambar dirinya di samping pengendali skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner itu memberi gambaran bahawa pasukan tersebut akan mengekalkan khidmat jurulatih kelahiran Croatia berkenaan.

"Tidak perlulah masing-masing terikut dengan rentak propaganda media. Lebih malang, kita mula mengutuk bekas ketua Jurulatih Terengganu FC.

"Caci maki dan hina nista dilemparkan kepada beliau tanpa belas kasihan. Mengapa perlu diganggu karier orang lain di tempat lain?" katanya yang mempertahankan karier dan hala tuju Nafuzi ketika ini.

Tomislav sebelum ini dilantik sebagai pengendali skuad Sang Penyu selepas memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal kelab sejak awal 2022.

Dia diberikan kepercayaan untuk menggantikan Nafuzi selepas pernah meraih pengalaman dalam arena bola sepak tanah air bersama T-Team untuk beberapa musim.

Tomislav_Steinbruckner_-_@Terengganu_FC_FB

Masa depan Tomislav sebelum ini dikatakan terancam selepas prestasi tidak menentu skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

Meskipun kerap dikritik pada awal tempoh kejurulatihannya, jurulatih berusia 57 tahun berkenaan masih berjaya membuktikan kebolehannya apabila membawa Terengganu FC ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kebolehan Tomislav turut dibuktikan dalam saingan Piala AFC apabila kelab Pantai Timur itu menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang masih belum tewas dengan peluang masih terbuka untuk mereka melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Dalam masa sama, Hishamuddin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut berkongsi satu perkembangan baharu mengenai Terengganu FC dengan mengatakan seorang Pengarah Sukan kelab bakal dilantik setelah satu mesyuarat lembaga pengarah diadakan.

"Antara senarai nama yang dikemukakan ialah ketua jurulatih sekarang dan dia sudah dipersetujui untuk terus membimbing pasukan Terengganu.

"Seorang Pengarah Sukan juga telah dipersetujui dan dinamakan untuk dilantik atas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC untuk menguruskan perjalanan pasukan secara lebih berobjektif dan berstrategi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram