Status sudah 'to leave', khabarnya anak jati Borneo jadi taruhan Terengganu FC ganti Azam Azmi


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Musim ini, Azam Azmi melakukan 20 penampilan dalam Liga Super. — Facebook/TFC

BEK kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad dikhabarkan akan meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan dan difahamkan akan memperkuatkan pertahanan sebuah kelab Selatan tanah air pada musim depan.

Desas-desus ke Johor Darul Takzim (JDT) semakin diyakini apabila tanda ‘to leave" atau bermaksud ‘bakal berpindah’ tertera pada profil Azam Azmi di laman perpindahan pemain Transfermarkt.

Bukan itu sahaja, nama kelab Harimau Selatan juga ditulis sebagai bakal majikan pertahanan berkenaan pada profil pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Sekiranya khabar berkenaan akan menjadi realiti, pasukan kejurulatihan Terengganu pastinya kini sedang sibuk menyenaraikan beberapa calon untuk mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Azam Azmi.

azam azmi

Tangkap layar status Azam Azmi di Transfermarkt.

Oleh itu, tidak hairanlah jika timbul ura-ura menyatakan bahawa pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Tommy Mawat difahamkan akan menjadi pengganti Azam Azmi dan pengalamannya akan digunakan di bahagian pertahanan kanan pada musim depan.

Pemain kelahiran Belaga, Sarawak yang sebelum ini beraksi dengan Sabah FC di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berhijrah ke Negeri Sembilan pada jendela perpindahan awal musim 2023.

Meskipun namanya bukanlah sepopular pertahanan Liga Malaysia lain namun kualiti dari segi ketangkasan dan kepantasan larian yang ada pada diri Tommy nampaknya cukup baik untuk mengulangi prestasi pasukan musim lalu, lebih-lebih lagi dari segi serangan.

tommy

Tommy antara watak utama di bahagian pertahanan skuad Jang musim ini. — Facebook/NSFC

Tonggak berusia 28 tahun itu sudah tampil dalam 20 perlawanan Liga Super bersama skuad Jang dan juga terlibat dalam memberi sumbangan di bahagian serangan NSFC apabila mencetak dua jaringan serta dua hantaran bantuan.

Walaupun posisi asalnya sebagai bek kiri namun Tommy juga boleh menyahut cabaran untuk beraksi di bahagian kanan jika dia menyertai Terengganu pada musim depan yang dijangka bermula pada April 2023.

Malah, masalah dalaman yang tertumpu pada isu tunggakan gaji Negeri Sembilan juga pasti menjadi pengajaran buat Tommy untuk mempertimbangkan mencari majikan baharu bagi saingan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram