Peluang sudah tertutup, JDT tetap ada misi lain berdepan BG Pathum United


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Aksi menentang BG Pathum dianggap untuk memperbaiki prestasi JDT apabila berdepan cabaran besar menentang kelab Thailand.— Facebook/JDT

WALAUPUN pintu ke saingan pusingan 16 terbaik sudah tertutup, Johor Darul Takzim (JDT) tetap akan memberi persembahan terbaik untuk memburu kejayaan menentang BG Pathum United FC pada aksi terakhir Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Pertembungan dianggap pelengkap jadual di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari menyifatkan perlawanan itu penting bagi memperbaiki prestasi pasukan dengan berdepan cabaran besar menentang kelab Thailand dibarisi pemain berkualiti.

"Kami akan menunjukkan corak permainan yang sempurna dari segi kekuatan, mentaliti dan komitmen. Barisan pemain fokus dan mahu beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Iskandar Puteri pada Isnin.

Pada masa sama, pemain sayap JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi berkata, dia bersedia untuk memberikan 100 peratus untuk perlawanan esok dengan harapan memenangi perlawanan terakhir ACL untuk Harimau Selatan.

"Pasukan kami bertekad untuk menang dan tak kisah siapa menjaringkan gol,” katanya.

arif solari

Solari (kiri) dan Arif Aiman ketika di sidang media praperlawanan di Iskandar Puteri pada Isnin. — Facebook/JDT

Sementara itu, ketua jurulatih BG Pathum FC, Surachai Jaturapattarapong mengakui JDT sebagai lawan yang sukar tetapi akan melakukan yang terbaik untuk menamatkan kempen ACL dengan kemenangan.

"Kami akan menggunakan pemain dengan keadaan terbaik untuk perlawanan esok (Selasa) kerana ini adalah perlawanan ACL, tahap bola sepak tertinggi di Asia.

"Ada tiga pemain (seperti) Heberty Fernandes de Andrade, Bergson da Silva dan Arif Aiman yang kita perlu berhati-hati kerana mereka adalah bintang JDT. Tanpa pemain ini, potensi JDT akan turun 30 atau 40 peratus," katanya.

Selepas lima perlawanan, JDT berada di tangga ketiga dengan enam mata manakala BG Pathum United FC di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram