KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menganggap barisan pemainnya berhak memperoleh kemenangan 1-0 dalam aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman di Alor Star, pada Sabtu.
Jaringan tunggal Ayron del Valle pada minit ke-62 cukup bermakna buat Gergasi Merah Kuning untuk memperoleh tiga mata sekali gus menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua serta memperoleh tiket ke saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim hadapan.
Berbangga dengan kemenangan itu, Cheng Hoe meletakkan setiap individu dalam pasukan memainkan peranan penting dalam musim yang memberangsangkan buat pasukan namun melihat perjalanan mereka masih lagi jauh.
"Tiga mata yang cukup penting, barisan pemain berhak memperoleh kemenangan ini apabila mereka telah berusaha sejak permulaan musim.
"Terdapat tempoh dalam separuh masa pertama Selangor gagal mengawal permainan namun semangat yang ditampilkan cukup untuk memastikan kami mendapatkan kemenangan ini.
"Sebagai jurulatih, saya cukup berbangga dengan setiap individu dalam pasukan yang telah berusaha untuk pasukan.
"Namun harus diingatkan, perjalanan masih jauh banyak lagi perlu diperbaiki Selangor bagi menghadapi musim hadapan dan berharap kami mampu memastikan permainan yang terbaik," katanya selepas tamat perlawanan.
Justeru, Cheng Hoe mahu skuad bimbingannya melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi saingan Piala AFC yang dianggap semakin mencabar.
Beliau berkata, hal ini kerana pertandingan di peringkat Asia itu kini dilihat sudah berubah dengan pasukan yang layak prestasi masing-masing sedang meningkat naik.
"Peringkat Asia kita kena betul-betul bersedialah ... kita tak boleh ambil mudah, kalau kita lihat tahap Asia sekarang dah berubah dan banyak kelab dan pasukan sedang meningkat naik.
"Apa yang penting kita masih ada masa lagi untuk membuat persediaan dan pemain sendiri berpeluang tingkatkan kemahiran mereka. Saya harap semua lebih bersedia (kerana) kita tak mahu bermain di peringkat Asia kita dibelasah oleh pasukan lawan," katanya lapor Bernama.
Katanya lagi, kejayaan membawa Selangor ke Piala AFC disifatkan antara kenangan manis buat dirinya kerana belum pernah membawa mana-mana pasukan sampai ke tahap itu sebelum ini.
Sementara itu, mengulas perlawanan menentang KDA FC, Cheng Hoe berkata kemasukan Brendan Gan pada babak kedua perlawanan memberi tonik kepada persembahan The Red Giants yang akhirnya berjaya mendapat gol yang dicari menerusi pemain Ayron Del Valle Rodriguez pada minit ke-64.
"Brendan pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi dan kemasukan beliau memberi tenaga baharu untuk pasukan kerana pada separuh masa pertama kita gagal menguasai perlawanan dan juga kekuatan bahagian pertahanan kita agak kurang,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata, walaupun pasukan tewas, beliau tetap berbangga dengan kesungguhan dipamerkan kesemua pemain yang berjaya menghalang Selangor daripada mendapatkan lebih banyak jaringan.
"Kita banyak peluang menjaringkan gol tapi akhirnya Selangor dapat gol ... komitmen dan prestasi (pasukan) saya sangat puas hati," katanya yang kini mahu menumpukan perlawanan menentang Sabah FC pada 17 Dis ini bagi menentukan kedudukan tempat ketiga Liga Super," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram