Nama besar Darul Aman antara 3 pemain dalam list disebut-sebut sarung jersi Kuching City


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Aidil Sharin (kiri) memaklumkan akan membawa masuk tiga bekas anak didiknya di KDA FC untuk bersamanya di Kuching City. — Facebook/KuchingCity

SAINGAN Liga Super 2023 yang berbaki satu perlawanan lagi membuatkan majoriti pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini berpusu-pusu untuk mendapatkan pemain idaman mereka untuk membantu memperkuatkan pasukan agar kekal relevan memberi saingan pada musim 2024.

Kuching City FC turut tidak ketinggalan menjadi antara pasukan yang berkongsi perancangan saingan musim depan dengan kelab dengan gelaran The Cats itu difahamkan akan membawa masuk beberapa wajah baharu.

Dalam satu temu bual bersama portal Harimau Malaya, Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman memberi gambaran bahawa Kuching City akan menerima khidmat nama besar pada musim depan dan perkara itu pastinya akan membawa keterujaan dalam kalangan penyokong.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak turut berkongsi keadaan semasa The Cats yang memaklumkan akan membawa masuk tiga bekas anak didiknya di Kedah Darul Aman (KDA) FC selain bekas pemain kebangsaan juga menjadi antara sasaran.

Perkembangan terbaharu yang dikongsi dua individu penting skuad The Cats itu membuatkan penyokong mula mengaitkan beberapa nama pemain dijangka akan menyarung jersi Kuching City pada siangan Liga M 2024.

Berdasarkan petunjuk dari Aidil Sharin dan Fazzrudin, berikut tiga nama pemain yang mungkin sedang mempertimbangkan tawaran dari pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu;

1) Fayadh Zulkifli

fayadh

Fayadh masih gagal memecahkan kebuntuan jaringan gol walaupun diberi peluang oleh Nafuzi Zain. — Facebook/KDAFC

Penyerang sayap skuad Hijau Kuning, Fayadh Zulkifli mengalami musim yang kurang menyenangkan pada musim ini apabila tidak menjaringkan sebarang gol dan hanya merekodkan satu hantaran bantuan untuk 22 perlawanan Liga Super setakat ini.

Sebelum kariernya dimamah usia, ramai penyokong skuad Sang Kenari berharap akan pemain berusia 25 tahun itu keluar dari zon selesa dan mendapatkan peluang bersama kelab lain untuk mengembalikan zaman puncaknya.

Bagi membantu melonjakkan semula karier anak jati Kedah itu, Aidil Sharin dilihat sebagai jawapan tepat untuk mengembalikan semula keyakinannya dan berkemungkinan berpeluang mendapat panggilan skuad kebangsaan.

Malah, Fayadh juga berkemungkinan berada dalam radar Aidil Sharin berikutan sebelum ini, pengendali dari Singapura itu gemar menggunakan penyerang sayap kiri berkenaan sebagai supersubs Kedah ketika zamannya mengendalikan Hijau Kuning.

Pencapaiannya terbaik pemain berketinggian 1.60 meter berkenaan semasa dibawah kendalian Aidil Sharin adalah merekodkan 11 jaringan gol termasuk empat gol dalam kejohanan Piala AFC bagi musim 2021/22.

2) Rodney Calvin

Rodney Celvin Akwensivie going through the yo yo test. - Photo by Kedah FC

Rodney musim ini tampil dalam 13 aksi Liga Super bersama KDA FC. — Facebook/KDAFC

Pemain pertahanan kacukan Bidayuh-Ghana, Rodney Calvin antara pemain KDA FC yang dijangka akan bersatu semula dengan bekas gurunya di Kuching pada musim depan selepas dia diumumkan sudah meninggalkan Sang Kenari pada Oktober lalu.

Walaupun menampilkan persembahan cemerlang sejak menjadi pinjaman dari Selangor pada musim 2011 namun Rodney atau lebih dikenali sebagai Bonai memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal atas permintaan dirinya sendiri.

Semasa tempoh pinjamannya, bek tengah berusia 27 tahun itu antara pertahanan kegemaran Aidil Sharin sehingga berjaya memikat jurulatih berkenaan serta para penyokong untuk melihat dia terus kekal bersama Kedah secara perpindahan tetap.

Hubungan baiknya bersama Aidil Sharin boleh menjadi asbab Rodney membuat keputusan untuk berbakti di negeri kelahirannya itu dan seterusnya bersama kelab yang menjanjikan kepuasan dari segi minit permainan dalam karier bola sepaknya.

3) Shamie Iszuan Amin

shamie

Shamie Iszuan hanya tampil dalam 10 aksi Liga Super dan hanya sekali diturunkan sebagai kesebelasana utama skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahang

Bagai sirih pulang ke gagang adalah peribahasa sesuai untuk menggambarkan situasi sekiranya anak jati Kuching, Shamie Iszuan Amin menerima tawaran untuk beraksi bersama Kuching City pada saingan Liga M 2024.

Shamie Iszuan juga antara pemain yang sesuai dengan petunjuk dari Fazzrudin kerana statusnya kini sering mendapat panggilan skuad kebangsaan dan terbaharu, pemain berkenaan mewakili Malaysia ke aksi Pestabola Merdeka pada Oktober lepas.

Walaupun penyerang sayap itu kini jarang mendapat minit permainan bersama Sri Pahang namun Shamie Iszuan antara pemain dikenali sebagai lincah dan licik di atas padang dan perkara itu dapat dibuktikan semasa aksinya mewakili Malaysia di pentas Piala AFF 2022.

Selain itu, Shamie Iszuan juga antara pemain versatil di tanah air kerana sebelum ini pernah menjadi pemain pertahanan Sarawak United FC dan sememangnya mampu untuk membantu di bahagian serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram