KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) digesa untuk menyiasat dakwaan mengenai pengguguran secara tidak profesional ketua jurulatih skuad bawah 17 (B-17) tahun negara, Osmera Omaro selepas tidak sampai dua tahun membimbing skuad muda tanah air.
Bukan hanya penamatan kontrak yang tidak mempunyai alasan kukuh, malah pengendali berusia 44 tahun berkenaan juga didakwa tidak mendapat notis yang sepatutnya mengenai maklumat berkenaaan.
Dalam satu ciapan laman penyokong bola sepak, Onefootball.my mendakwa bahawa bahawa bekas ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu mendapat makluman tersebut di tempat letak kereta.
Tindakan yang disifatkan tidak profesional itu membuatkan penyokong meminta agar Hannah Yeoh selaku Menteri KBS menjalankan siasatan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang difahamkan menghantar maklumat berkenaan kepada Osmera.
Tangkap layar ciapan dari Onefootball.my.
“Berita yang amat mendukacitakan, Osmera Omaro (Head Coach U17 AMD) tidak disambung kontrak oleh MSN tanpa sebarang alasan!
“Hanya pemakluman di tempat letak kereta sahaja. Di mana profesionalisme MSN dan NFDP?! (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) Harap YB (Yang Behormat) Hannah Yeoh selaku Menteri KBS dapat jalankan siasatan,” tulisnya.
Dengan pengalaman pernah memegang jawatan selaku ketua jurulatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Pembangunan Belia, KJRN Sabah, Osmera menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad kebangsaan B-17 pada Jun 2022.
Skuad kendalian Osmera tidak berjaya untuk merebut tiket ke Piala Dunia B-17 pada hujung tahun ini apabila Harimau Muda terpaksa menerima hakikat di kedudukan ketiga dalam peringkat kumpulan Piala Asia B-17 pada Jun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram