Mesej di kek 'confirmkan' Rizal Ghazali pulang ke Kedah, Syafiq Ahmad menyusul


  • Podium
  • Ahad, 10 Dis 2023

Rizal membantu serangan Sabah FC dengan lima bantuan jaringan dan mencetak dua gol. — Facebook/SabahFC

DARUL Aman sepertinya akan menyambut semula kepulangan bekas pemain apabila muncul khabar angin mengatakan bahawa seorang tonggak yang dulu berkhidmat bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC akan menyarung semula jersi Hijau Kuning pada musim depan.

Berita kepulangan semula bekas pemain itu mula timbul selepas pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad memuat naik ciapan ‘Welcome back to Darul Aman’ pada laman X miliknya pada Ahad.

Meskipun Hafizal tidak menyebut figura tersebut namun sudah ada desas-desus mengatakan bahawa bek kanan Sabah FC, Rizal Ghazali akan pulang semula ke Darul Aman selepas meninggalkan pasukan Hijau Kuning pada musim 2022.

Kontrak anak jati Alor Setar, Kedah itu bersama Sabah FC akan tamat pada penghujung musim ini dan Rizal juga nampaknya sudah membuat majlis perpisahan bersama rakan di negeri Di Bawah Bayu itu.

Menerusi laman Insta Story, Rizal memuat naik gambar kek dengan tulisan diatasnya berbunyi 'Kepada Rizal, semoga maju jaya Rizal. Kami akan merinduimu'.

Mesej pada kek berkenaan seakan-akan jaminan bahawa ia adalah gambaran rasmi bahawa bek kanan itu akan pulang semula ke pangkuan Kedah pada musim depan.

WhatsApp Image 2023-12-10 at 12.05.19

Tangkap layar Insta Story Rizal pada Sabtu.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan antara ‘tulang belakang’ Sabah FC kini berada di tangga teratas Kumpulan H Piala AFC 2023/24 sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir Zon Asean dengan satu perlawanan berbaki.

Selain ura-ura kedatangan pertahanan kental itu, penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad juga disebut-sebut akan berhijrah kembali ke kelab yang mengasah bakatnya tersebut.

Saban tahun nama penyerang kebangsaan berkenaan menjadi nama yang diharap memperkuatkan bahagian serangan kelab Utara tanah air berkenaan dan hasrat berkenaan sekali lagi diimpikan penyokong KDA FC.

Tidak kira hadir sebagai pemain pinjaman mahupun sebagai penyerang tetap namun sentuhan Syafiq sentiasa memberi kesan kepada skuad KDA FC seperti ketika dia menjadi pemain pinjaman pada awal musim 2022.

Sepanjang tempoh pinjaman bersama KDA FC itu, penyerang berusia 28 tahun berkenaan membantu dua jaringan gol dan empat hantaran bantuan dalam sembilan aksi Liga Super dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram