Bek lokal TFC dipuji kekang import JDT, Ivan Mamut perlu gandingan mantap


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Ubaidullah (jersi putih) antara sebahagian daripada kuartet pertahanan tempatan Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia berakhir dengan kekecewaan buat Terengganu FC apabila mereka kalah 1-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

JDT mendahului menerusi sepakan penalti Bergson da Silva sebelum Ivan Mamut menyamakan kedudukan 1-1. Namun, dua gol oleh Feroz Baharudin dan Arif Aiman pada separuh masa kedua membunuh peluang skuad Penyu untuk meraih kejuaraan.

Walaupun kalah, aksi Terengganu mendapat pujian terutamanya daripada penyokong mereka. Hal ini kerana, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner berani meletakkan barisan pertahanan yang ditunjangi anak tempatan.

Steinbruckner meletakkan Azam Azmi, Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul dan Shahrul Nizam bagi memastikan JDT sukar untuk melepasi pintu gol yang dikawal Suhaimi Husin.

409036625_342137795194328_8887867447970818717_n

Shahrul Nizam kecewa tidak jadi juara Piala Malaysia. — Facebook/Terengganu FC

"Back four Melayu tulen, sepatutnya kita kena bangga sebab boleh sekat geng import JDT. Melayu dan muda, prospek masa depan Harimau Malaya. Tahniah buat semua para pemain Terengganu. Bukan rezeki malam (Jumaat) ini," kata penyokong bernama Noor Safik.

Sememangnya, barisan pertahanan tempatan Terengganu memang mendapat pujian ramai pada musim ini terutamanya Azam dan Ubaidullah.

Walaupun mereka tewas, tetapi prospek baik ditonjolkan mereka memberikan bayangan Malaysia tidak akan ketandusan pertahanan berkualiti di bahagian tengah, kiri dan kanan.

Pendapat sama dikongsi oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran, apabila memuji keberanian ditampilkan oleh barisan pertahanan muda Terengganu berdepan himpunan bintang JDT.

"Di peringkat terbesar, dua pemain muda ini menunjukkan keberanian dan perwatakan berdepan pasukan yang mendominasi pelbagai pasukan lain.

"Masa depan barisan pertahanan kita dilihat cerah menerusi Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul. Dua pemain ini sememangnya bagus," kata Avineshwaran.

Selain itu, penyokong turut mengharap Terengganu akan mencari pemain baharu musim depan bagi memastikan Mamut akan lebih tajam di depan gol.

409019064_342137458527695_7598666832001778765_n

Mamut (depan) perlukan gandingan mantap untuk tampil lebih berbisa. — Facebook/Terengganu FC

Pemain tersebut memerlukan gandingan ampuh supaya serangan Terengganu lebih mantap menceroboh pintu gol lawan.

"Sedap TFC main, tahun depan cari penyerang untuk berganding dengan Ivan Mamut. Cari pertahanan import yang boleh berganding dengan Shahrul Nizam. Bahagian sayap kanan kena cari seorang yang sedap. Sony Norde boleh dipertimbangkan lagi, Adisak Kraisorn serta Sardor Kulmatov perlu dihantar balik," cadang penyokong bernama Hazril Imry.

Semestinya masih ada ruang yang boleh dibaiki oleh Terengganu bagi menguatkan skuad mereka. Dengan percaturan yang tepat, mereka sekali lagi boleh mencabar kejuaraan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram