GANJARAN lumayan menanti dua wakil Malaysia iaitu pasukan Homebois dan Team SMG dalam Kejohanan Dunia Siri Ke-5 (M5) Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang akan berlangsung di Manila, Filipina pada 2 Disember ini.
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim yang berharap agar dua pasukan tanah air itu dapat membawa kemenangan untuk semua rakyat Malaysia dalam kejohanan berkenaan.
Adam Adli berkata, elemen penting seperti pengalaman dan mempunyai jurulatih yang bagus dalam kedua-dua pasukan berkenaan dipercayai adalah ramuan terbaik untuk mereka mendapatkan kejayaan di Manila.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memang harap nak menang sebab mereka ada pengalaman, ada jurulatih yang bagus. Ada akademi yang baik dan ada ekosistem yang sangat membina. Kita letakkan harapan yang tinggi. Ganjaran ada untuk siapa yang menang nanti.
“Saya yakin setiap elemen yang dimiliki seperti pengalaman, kepakaran dan ekosistem serta sokongan bukan sahaja daripada pihak kerajaan seperti ESI (Esports Integrated (ESI) yang banyak membantu atlet negara. Saya percaya pasukan Malaysia boleh dapat tempat di peringkat dunia,” katanya.
Adam Adli ketika memberi ucapan alu-aluan pada Majlis Pelepasan Pasukan Esports Profesional Malaysia Ke Mobile Legends: Bang Bang M5 World Championship 2023.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu ditemui ketika Majlis Pelepasan Pasukan Esports Profesional Malaysia Ke Mobile Legends: Bang Bang M5 World Championship 2023 di Parlimen pada Isnin.
Tambah Adam Adli, KBS menerusi Esports Integrated (ESI) juga menjalankan kerjasama strategik untuk perjalanan Homebois dan Team SMG sepanjang kejohanan berlangsung itu nanti.
“Untuk sekarang, ESI jalinkan kerjasama strategik untuk setiap perjalanan pasukan berjalan dengan lancar.
“Malah, daripada awal menerusi ESI sudah pun salurkan peruntukan kepada e-sport. Bukan sahaja untuk kejohanan tapi kepada kejohanan lain,” jelasnya.
Untuk rekod, pasukan Homebois layak ke kejohanan dunia selepas menjuarai musim ke-12 Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL), manakala Team SMG pula menempah tiket ke Manila setelah memenangi ‘wild card’ baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram