
KEADAAN padang membimbangkan tetapi pemain tidak seharusnya menjadikan ia sebagai alasan untuk tampil dengan aksi hambar dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.
Demikian pendapat yang disuarakan oleh ketua pasukan dan bek tengah Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat.
Jordi dan rakan sepasukannya menyatakan rasa tidak senang terhadap keadaan padang yang teruk namun mereka tidak ingin ia menghalang mereka daripada tampil dengan persembahan berkualiti menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil di ibu negara pada Jumaat.
Keadaan padang sudah tentu kelihatan jauh dari sempurna dan permukaannya semakin teruk selepas konsert Coldplay dua minggu lalu sehingga ramai percaya ia boleh menjejaskan rentak permainan.
Malah, 72 jam sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim turut berkongsi gambar keadaan terkini padang menerusi laman sosialnya.
BACA LAGI: Main boleh main, tapi nanti pemain cedera' — TMJ
Barisan pemain JDT ketika sesi latihan di Stadium Nasional.
“Saya tidak gembira (dengan keadaan padang) tetapi kita tunggu sahaja. Saya harap padang boleh menjadi lebih baik hari ini (Jumaat).
“Saya turun ke padang untuk menyentuhnya. Di bahagian tengah padang, anda boleh lihat sebahagian rumput tidak ditanam sepenuhnya di atas tanah.
"Semasa memanaskan badan hari ini, kita akan lihat sama ada keadaan rumput masih sama. Jika ya, maka kami akan mencuba tahap yang terbaik untuk elak bahagian tersebut dan mempamerkan permainan terbaik kami di kawasan lain padang.
“Saya tidak mahu ini (keadaan padang) menjadi alasan. Kami perlu menyesuaikan diri. Pasukan lain juga akan bermain di padang yang sama," katanya.
Pemain berusia 31 tahun itu berkata, Terengganu bukanlah lawan yang mudah walaupun Harimau Selatan sudah menewaskan mereka dua kali tahun ini – 2-0 (24 Februari) dan 3-1 (6 September).
“Perlawanan terakhir kami menentang mereka di Gong Badak bukanlah satu yang mudah, terutamanya separuh masa pertama. Mereka benar-benar bagus tetapi kami mengatasinya pada babak kedua.
“Kami perlu memerhatikan penyerang mereka, terutamanya semasa bahagian serangan. Kita kena bersedia.
“Perlawanan akhir ini sangat besar untuk kami. Semasa kanak-kanak, anda bermimpi bermain dalam perlawanan sedemikian. Sebagai kapten, saya memberitahu rakan sepasukan untuk mengekalkan gaya permainan kami dan mengamalkan mentaliti kemenangan," tambahnya.
Jordi (dua dari kiri) dan Habib (dua dari kanan) ketika sesi sidang media praperlawanan Piala Malaysia pada Khamis. — Facebook/JDT
Sementara itu, kapten Terengganu, Habib Haroon mahu membawa kembali trofi ke negeri itu kerana kali terakhir memenangi satu trofi pada 2011 apabila menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Piala Malaysia terakhir yang dimenangi TFC ialah pada 2001, apabila skuad Sang Penyu menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir di venue sama.
“Kami menentang salah satu pasukan terbaik di Malaysia, jadi kami teruja.
“Bagi kami, ia adalah salah satu perlawanan terbesar dalam karier kami, jadi kami berharap untuk memberikan yang terbaik.
“Ia adalah final kedua saya dan saya berharap kami dapat melakukan sesuatu yang istimewa untuk kami, dan juga untuk peminat," kata Habib. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram