[VIDEO] Harimau Selatan 'tempang' tempat berteduh dinaiki air


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Tangkap layar Pusat Latihan Padang Seri Gelam dilanda banjir kilat pada Rabu.

BEBERAPA kawasan di sekitar Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan selama dua jam sejak tengah hari Rabu sehingga difahamkan ramai penduduk setempat berisiko kerugian ribuan ringgit.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa beberapa laluan di pusat bandar turut ditutup bagi mengelak kenderaan terperangkap ekoran banjir kilat yang berlaku.

Kira-kira 25 lokasi dilanda banjir kilat di ibu negeri Johor tersebut termasuk Pusat Latihan Padang Seri Gelam milik pasukan gergasi, Johor Darul Takzim (JDT).

Menerusi video tular di media sosial, bahagian dalam pusat latihan tersebut mula dinaiki air hingga ke paras buku lali dan kawasan luar pula ditenggelami air sedalam paras lutut.

Individu yang memuat naik video tersebut juga mendakwa bahawa sampah sarap juga mula ‘menghiasi’ Padang Seri Gelam gara-gara banjir kilat melanda pusat latihan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

Keadaan yang menimpa pusat latihan JDT itu membuatkan penyokong tertanya-tanya sama ada Harimau Selatan akan berpusat di Padang Latihan Taman Mawar, Pasir Gudang iaitu padang khusus untuk JDT II.

Pertukaran pusat latihan skuad Harimau Selatan bagaimanapun akan diketahui selepas JDT selesai menjalankan tugas di pentas final Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) pada Jumaat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain daripada JDT, TFC turut mengalami situasi sama apabila padang di Pusat Latihan TFC, Gong Badak yang menjadi gelanggang rasmi skuad Penyu itu menjalani latihan tidak dapat digunakan berikutan dilanda banjir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram