'Tinggal touch up, pasang tiang gol', PSM pastikan padang elok aksi final Piala Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

SNBJ sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada Jumaat ini. — Facebook/Bernama

STADIUM Nasional Bukit Jalil sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada Jumaat ini meskipun ketika ini dihujani kritikan dan pertikaian mengenai mutu permukaan padang susulan gambar yang tular di media sosial.

Perkembangan tersebut disahkan sumber dalaman Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan terutamanya di bahagian padang giat dijalankan sejak kira-kira dua minggu lepas sebagai persediaan menjelang final itu.

Menurut sumber, PSM bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan beberapa pihak lain mengadakan pemeriksaan terhadap permukaan padang untuk melihat tahap ketersediaannya pada Selasa.

"Ketika ini semua sudah bersedia, cuma hari ini tinggal touch up dan buat garisan, esok pasang tiang gol. Gambar yang tular adalah waktu kerja-kerja sedang berjalan.

"Kami akan pastikan permukaan padang yang elok untuk final Piala Malaysia dan kami berikan yang terbaik untuk pastikan keadaan padang berada pada tahap optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tiada sebarang perbincangan untuk memindahkan venue perlawanan akhir Piala Malaysia sejak isu padang mula tular sebelum ini.

WhatsApp Image 2023-12-06 at 16.52.03

Gambar yang dikongsikan oleh Tunku Ismail. — Facebook/TMJ

Isnin lepas, permukaan padang Stadium Nasional sekali lagi tular dan menjadi perhatian selepas pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan padang Stadium Nasional, yang pertama selepas dua hari konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan, 22 November lepas.

Sebagai rekod, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di Stadium Nasional yang mula ditanam tahun ini.

Final Piala Malaysia 2023 mempertemukan juara tiga kali yang juga juara bertahan JDT dan Terengganu FC yang memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir memenanginya pada 2001. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram