'Misi hidup mati', jurulatih Malaysia tuntut Young Tigers lebih berdisiplin lawan Australia


  • Podium
  • Khamis, 07 Dis 2023

Muhamad Amin berkata, barisan pertahanan negara harus kebal dan mengelak kesilapan mudah bertemu Australia.

KETUA jurulatih skuad young tigers Muhamad Amin Rahim menggesa pemain supaya mempamerkan disiplin tinggi dan meningkatkan kepantasan ketika menentang Australia pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur.

Berdepan misi hidup mati dengan hanya kemenangan sahaja melayakkan Malaysia ke suku akhir, Muhamad Amin berkata, barisan pertahanan negara harus kebal dan mengelak kesilapan mudah kerana Australia, naib juara Piala Sultan Johor (SOJC) 2023, sememangnya pasukan yang pantas.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, berdasarkan pengalaman membawa pasukan ke jelalah di Australia sebanyak dua kali pada tahun ini, pemain negara berkenaan mempunyai kemahiran menjaringkan gol padang dan sentiasa berfikiran jauh.

"Kita sedia maklum Australia kuat dari segi fizikal dan cara permainan pantas, jadi pemain kita harus bersedia dari segi reaksi atas padang.

Dalam apa-apa situasi, contohnya ketika pukulan percuma, pemain kena bertindak pantas, waspada untuk 60 minit dan struktur pertahanan yang lebih berdisiplin.

"Pemain Australia mempunyai fizikal lebih besar dan tegap, manakala pemain kita lebih kecil, tetapi sangat lincah dan pantas, jadi mereka kena gunakan kelebihan itu. Kita juga perlu pastikan perlaksanaan pukulan sudut penalti berjalan lancar dan dapat disempurnakan,” katanya kepada Bernama.

Malaysia yang memulakan kempen dengan membelasah Chile 7-1 dalam aksi pertama pada Selasa, dibenam 0-4 oleh juara bertahan Argentina pada malam tadi berikutan aksi kurang konsisten serta kegagalan menyempurnakan empat pukulan sudut penalti.

Australia yang tewas tipis 0-1 kepada Argentina, bangkit membelasah Chile 7-1, tetapi mempunyai kelebihan jaringan walaupun berkongsi tiga mata dengan Malaysia untuk memburu slot ke suku akhir, manakala Argentina sudah satu kaki di suku akhir setelah mengumpul enam mata.

Mengenai pukulan sudut penalti, Muhamad Amin berkata, anak buahnya harus fokus dengan rutin pengambilan pukulan berkenaan dari penolak hingga penjaring dalam memastikan kelebihan itu dapat diterjemahkan sebagai jaringan.

Ditanya mengenai kekerapan pemain negara mengalami kekejangan, beliau berkata ia berpunca daripada dehidrasi, selain turut berharap aksi esok yang akan berlangsung pada 2 petang, memberikan sedikit kelebihan buat anak buahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram