KELANTAN FC berjaya menghantar dokumen pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir yang ditetapkan pada Khamis.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima dokumen berkenaan dan kini dalam proses semakan oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia, First Instance Body (FIB).
"MFL mengesahkan Unit Pelesenan Kelab MFL menerima dokumen berkenaan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan FC semalam (Khamis).
"Bagaimanapun segala dokumen berkenaan pembayaran babitkan 30 pemain dan pegawai Kelantan FC itu kini dalam proses semakan oleh FIB," kata kenyataan itu.
Kelantan FC mungkin tidak akan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan jika gagal mendapatkan lesen kebangsaan dari MFL.
Dengan masalah yang menimpa Kelantan, ia bagai satu rahmat buat mereka untuk sekurang-kurangnya menghantar borang tunggakan gaji bagi mendapatkan lesen kebangsaan.
Namun adakah anda masih ingat, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pernah berhasrat membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membeli Video Bantuan Pengadil (VAR) pada tahun lepas.
Memetik laporan video Harimau Malaya tahun lalu, Zamsaham mendesak FAM memperkenalkan penggunaan system VAR dalam saingan Liga Malaysia.
Zamsaham berkata, sekiranya pihak FAM tidak mempunyai bajet untuk penggunaan VAR, dia sanggup mengeluarkan wangnya sendiri untuk beli sistem itu.
“Apa yang FAM susah sangat nak perkenalkan sistem VAR ni? Apakah sebab VAR ini mahal? Jika mahal sangat saya boleh tolong belikan dan beri kepada FAM dan mungkin saya boleh buat bisnes sikit,” katanya dalam temu bual di saluran YouTube, Harimau Malaya.
Norizam Tukiman.
Tambahnya lagi, penggunaan sistem VAR pada era bola sepak moden ini sangat penting kerana pengadil dapat melihat ulang tayang sekiranya keputusan yang dibuat mendapat bantahan daripada pemain.
Jelasnya lagi sekiranya mutu pengadilan bagus, ia secara tidak langsung dapat menaikkan kualiti Liga Malaysia.
Penggunaan sistem VAR kini menjadi semakin popular apabila hampir kesemua liga di Eropah sudah menggunakan VAR.
Namun kini tanpa bantuan daripada Zamsaham, FAM dan MFL sudah pun mempunyai sistem tersebut untuk menggunakannya pada musim depan.
Malah FAM turut berjaya menghantar pengadil-pengadil dari Malaysia untuk menghadiri kursus VAR di negara-negara luar seperti Arab Saudi dan Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram