Pengalaman AFC jadi senjata Suhaimi sekat serangan Harimau Selatan


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Suhaimi (kiri) akan menjadi benteng terakhir Terengganu menentang JDT dalam aksi Piala Malaysia. — Facebook/TFC

PENJAGA gol utama Terengganu FC (TFC) Suhaimi Husin bertekad memberi aksi terbaik jika diberi tugas menjaga gawang skuad Penyu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Jumaat ini.

Walaupun bakal berdepan tentangan daripada juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT), pemain berusia 29 tahun itu tidak gentar dan cukup bersedia untuk diuji kemampuannya.

Malah, Suhaimi mahu menggunakan peluang yang diberikan untuk membantu pasukan membawa pulang piala paling berprestij itu ke bumi Terengganu selepas kali terakhir pada 2001 di bawah bimbingan jurulatih, Mat Zan Mat Aris.

"Jika terpilih ini adalah penampilan kali pertama saya di pentas akhir Piala Malaysia. Ketika TFC layak ke perlawanan akhir Piala FA tahun lalu saya hanya memanaskan bangku simpanan.

"Saya sedar JDT memiliki barisan serangan yang kuat, tetapi dengan bantuan rakan-rakan, insya-ALLAH TFC mampu bertahan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (LTASM), di Kuala Nerus, Terengganu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-12-06 at 19.23.02

Skuad TFC sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada Rabu. — Facebook/TFC

Selain itu, anak jati Terengganu itu berkata, dia juga akan memanfaatkan pengalamannya beraksi di pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) untuk mengelak gol skuad Penyu dibolosi JDT.

Jelas Suhaimi, pengalamannya berdepan kelab antarabangsa seperti Bali United dan Coastal Central Mariners dari Australia menjadi tonik berharga untuk meningkatkan keyakinan dan prestasinya.

"Sokongan peminat Terengganu juga penting untuk menaikkan semangat kami pada perlawanan itu nanti," katanya yang memiliki ketinggian 1.82 meter.

Perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Jumaat ini bakal menemukan gergasi Pantai Timur, TFC dengan juara Liga Super 10 kali berturut-turut, JDT. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram