[VIDEO] Buat isyarat tangan lepas insiden gaduh, media China dakwa Dion Cools lupa asal usul


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Pada jendela perpindahan Januari lalu, Cools menyertai kelab Thailand, Buriram United. — Facebook/Buriram United

INSIDEN pergaduhan antara pasukan China, Zhejiang FC dan wakil Thailand, Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di China baru-baru ini masih menjadi medan untuk mengkritik para pemain yang terlibat.

Dalam aksi menentang Zhejiang di Stadium Olimpik Huzhou, Buriram tewas dengan keputusan 2-3 dan ia merupakan kekalahan ketiga juara Liga Thailand berkenaan dalam peringkat kumpulan selepas mengharungi lima perlawanan.

Difahamkan, pertelingkahan berpunca daripada lontaran kata-kata kesat antara tonggak Buriram, Theerathon Bunmathan dengan pemain simpanan Zhejiang dan kesemua mereka terpaksa dileraikan oleh staf kejurulatihan pasukan masing-masing.

Walaupun sudah hampir seminggu berlalu, namun masih ada pihak yang kurang berpuas hati dengan pemain yang terlibat dalam insiden pergaduhan tersebut dan salah satunya ialah pertahanan negara, Dion Cools.

Media negara Tembok Besar berkenaan iaitu, Sohu mendakwa bahawa pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia itu dilihat memberi isyarat tangan yang provokatif ke arah penyokong China selepas wisel penamat.

COOLS

Isyarat tangan Cools yang didakwa berunsur provokatif oleh media China. — Agensi

Malah, mereka juga mengganggap bahawa tindakan pemain berusia 26 tahun itu seakan-akan lupa asal usulnya berikutan sebelum ini media China juga mendakwa bahawa Cools mempunyai warisan negara berkenaan menerusi ibunya yang merupakan Hakka-Malaysia.

“Pasukan kebangsaan China tidak menyokong anda. Awak terlalu meninggi diri. Peminat di sini (China) menganggap bahawa awak melupakan asal usul, ” ujar portal Sohu dalam satu laporan mereka.

Sebelum ini, menerusi laman Twitter, China Sport Vision 2050 mendakwa bahawa Cools hampir ditandatangani kelab China, Jiangsu Suning FC sebagai pemain naturalisasi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun mengumumkan bahawa Cools menjadi pemain terbaharu skuad Harimau Malaya pada 2021 dan selepas itu khidmatnya sentiasa ditagih dalam perlawanan demi perlawanan.

Selepas hampir dua tahun bersama Malaysia, Cools sudah melakukan 15 penampilan dan berjaya menjaringkan gol ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram