PERAK FC akan melakukan rombakan terutama di posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Ketua jurulatihnya Yusri Che Lah berkata, buat masa ini beberapa pemain telah dikenal pasti untuk dibawa masuk bagi menambah kekuatan khususnya bagi ketiga-tiga posisi tersebut.
"Tidak terlalu banyak perubahan berlaku namun akan ada pemain baharu yang masuk bagi menambah kekuatan untuk kami bersaing dan merapatkan jurang dengan pasukan besar di Liga Super.
"Bagaimanapun kata putus adalah bergantung kepada kesesuaian bajet serta keputusan yang akan dimuktamadkan oleh pihak pengurusan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Sabah FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Ahad.
Pada musim ini, Perak yang merupakan juara Piala Malaysia bagi edisi 2018 dibarisi lebih 50 peratus pemain bawah usia 23 tahun selain diperkuatkan dengan lima pemain import.
Yusri turut mengakui kemasukan pemain baharu ke dalam pasukan akan menghadirkan kegembiraan khususnya kepada para penyokong yang menginginkan The Bos Gaurus kembali menjadi antara pencabar kejuaraan liga.
Muhammad Azalinullah sebelum ini pernah menyatakan hasratnya ingin kembali berbakti bersama negeri kelahirannya, Terengganu. — Facebook/Perak FC
Dalam perkembangan lain, dia berkata, pemain tengah berasal dari Terengganu, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias akan terus menabur bakti bersama Perak untuk musim depan.
Katanya ia nyata satu perkara yang menggembirakan lebih-lebih lagi Muhammad Azalinullah merupakan antara nadi utama pasukan untuk musim ini.
"Dia baru sahaja mengesahkan perkara itu minggu lalu. Apa yang boleh saya katakan ia satu perkara yang menguntungkan pasukan dan saya harapkan prestasi cemerlang ditampilkan musim ini akan diteruskan pada musim depan,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Azalinullah yang merupakan bekas pemain Terengganu FC dan Harimau Muda C mengakui dirisik oleh beberapa pasukan Liga Super untuk musim depan.
Bagaimanapun dia memberikan keutamaan kepada The Bos Gaurus yang telah menyelamatkan kariernya selepas tiada mana-mana pasukan menawarkan kontrak bermula enam bulan pertama tahun ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram