Sri Pahang makin agresif buang pemain, bek tengah berpengalaman ikut jejak Ingreso


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Fadhli Shas (dua dari kanan) diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai bek tengah utama Sri Pahang pada musim ini. — Facebook/SriPahang

SRI Pahang FC nampaknya menjadi pasukan yang agresif dalam memberi petunjuk mengenai perancangan musim depan mereka apabila kini dilihat aktif mengumumkan mengenai status pemain semasa skuad Tok Gajah kini.

Dengan berbaki satu perlawanan lagi pada musim ini, Sri Pahang mengumumkan dua pemain yang dilepaskan iaitu penyerang dari Brazil, Lucas Silva dan tonggak tengah dari Filipina, Kevin Ingreso.

Silva yang bergelut dengan isu kecederaan sepanjang musim dan tidak menjaringkan sebarang gol buat Tok Gajah dalam lima penampilan Liga Super membuatkan ramai penyokong memberi restu pemergiannya dari kem skuad kendalian Fandi Ahmad.

Berbeza pula dengan situasi Ingreso yang dikhabarkan bakal berhijrah ke Thailand, ramai pemain ke-12 Tok Gajah berat hati mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berusia 30 tahun itu berikutan dia cemerlang dalam menggerakkan bahagian tengah Sri Pahang sejak musim 2022.

Berita penghijrahan pemain kelab Pantai Timur berkenaan tidak habis di situ, apabila Fandi mengesahkan bek tengah berpengalaman, Muslim Ahmad juga tidak lagi bersama Sri Pahang pada musim depan.

WhatsApp Image 2023-12-04 at 08.50.20-2

Muslim (kiri) juga merupakan ketua pasukan Sri Pahang pada musim lepas. — Facebook/SriPahang

Perkara berkenaan dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X miliknya pada Ahad.

“Selain Kevin Ingreso dan Lucas Silva. Muslim Ahmad juga sudah tidak lagi bersama Sri Pahang karana kontraknya turut berakhir,” kata Fandi memetik ciapan dari Zulhelmi Zainal.

Kehilangan pemain berusia 34 tahun itu bagaimanapun seperti tidak merencatkan perancangan musim depan Tok Gajah apabila Muslim tidak lagi membuktikan kepentingannya dałam membawa peranan sebagai pertahanan kental untuk skuad Sri Pahang.

Bekas pemain kebangsaan itu membawa peranan penting sebagai bek tengah Sri Pahang sejak menyertainya pada musim 2017 namun prestasi Muslim semakin menurun dan banyak menerima kritikan penyokong pada tahun lepas.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai penyokong Sri Pahang berharap agar khidmatnya digugurkan pada awal musim ini hasrat berkenaan akhirnya menjadi kenyataan di hujung musim 2023.

Berdasarkan laman Transfermarkt, Muslim tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan Liga Super pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram