Kemenangan Sri Pahang ‘bantu’ pulihkan moral JDT, suntik tonik terbaik jumpa Sang Penyu


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Aksi ketua pasukan JDT, Jordi Amat (kiri) ketika berkunjung ke laman Sri Pahang di Kuantan dalam aksi Liga Super pada Ahad. — Facebook/JDT

PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari menyifatkan perlawanan dengan Sri Pahang sebagai persiapan yang baik bagi final Piala Malaysia bertemu Terengganu FC pada 8 Disember ini mengambil kira Tok Gajah merupakan antara pasukan yang kuat dalam saingan Liga Super.

Kemenangan 2-0 Harimau Selatan atas Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad bukanlah mudah kerana perlu berdepan tentangan hebat sebelum dapat menundukkan skuad Pantai Timur itu.

"Sri Pahang memiliki pemain berkualiti di bahagian serangan, tengah dan pertahanan yang mereka berusaha memberikan persembahan 200 peratus apabila bertemu JDT di hadapan penyokong sendiri.

"Tetapi kami semestinya perlu ada mentaliti juara sebagaimana diharapkan oleh kelab dan kemenangan malam ini perlu diteruskan sehingga ke aksi final Piala Malaysia yang dijangkakan lebih sengit," katanya.

Solari juga berkata, kemenangan itu perlu untuk dijadikan suntikan motivasi tinggi selepas kekalahan kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada saingan Liga Juara-Juara AFC baru-baru ini.

HEBERTY

Heberty menjaringkan gol pertama untuk JDT pada minit keenam perlawanan. — Facebook/JDT

"Ia satu perlawanan yang sengit tetapi kami berjaya mengatasinya dengan menguasai permainan dan menghasilkan gol walaupun bermain di atas padang yang kurang baik.

"Separuh masa kedua pula, kami mencipta lebih banyak peluang tetapi malangnya gagal mendapatkan sebarang gol. Apapun perkara lebih penting ialah kami berjaya mendominasi perlawanan dan gawang kami tidak bolos," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada aksi itu, Heberty Fernandes De Andrade menjaringkan gol pertama pada minit keenam dan Bergson Gustavo Silveira Da Silva mencipta gol kedua pada minit ke-42 untuk memberi kemenangan 2-0 kepada JDT.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad berkata, keputusan perlawanan mungkin berbeza sekiranya mereka tidak melepaskan gol pada awal permainan, namun menyedari anak buahnya telah menampilkan kesungguhan yang tinggi.

"Tetapi saya sangat kesal kerana kami bolos pada minit awal perlawanan walhal kami mampu menyaingi mereka. Saya berpuas hati dengan persembahan Sri Pahang kerana kami berhadapan pasukan yang jauh lebih baik," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram