Akmal Rizal sedia terus kemudi Penang, Steinbruckner kecewa kesilapan pemain


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Antara aksi pemain Terengganu ketika berkunjung ke Bandaraya bagi perlawanan Liga Super menentang Penang FC. — Facebook/PenangFC

JURULATIH interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan barisan pemain pada aksi Liga Super menentang finalis Piala Malaysia Terengganu FC di laman sendiri pada Ahad.

Akmal Rizal berkata, kejayaan mengikat skuad Penyu pada minit-minit akhir perlawanan ketika mereka diambang kekalahan merupakan detik yang menggembirakan sekali gus memperlihatkan para pemain berada dalam prestasi yang baik.

"Satu mata ini cukup penting bagi diri saya sendiri kerana selepas diberikan tanggungjawab memimpin pasukan dua minggu lepas, kami mendapat kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan malam ini kami peroleh satu mata dengan mengikat Terengganu FC 1-1.

"Tidak tewas dan mengutip empat mata dalam dua perlawanan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan serta jelas menunjukkan para pemain berada dalam karakter dan motivasi untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Mereka (pemain) telah bertungkus-lumus untuk berjuang mengikut apa yang kami rancang dan hasilnya dapat kita lihat dalam perlawanan lepas dan malam ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

Ditanya mengenai perlawanan terakhir menentang juara liga, Johor Darul Takzim FC (JDT) dua minggu lagi, Akmal Rizal berkata, tiada harapan diletakkan Skuad Harimau Kumbang namun berjanji akan menyajikan aksi terbaik buat para penyokong.

WhatsApp Image 2023-12-04 at 09.38.40-2

Akmal Rizal kini memangku jawatan sebagai pengendali interim Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC

"Semua tahu JDT FC mempunyai barisan pemain yang kualitinya jauh lebih baik daripada mana-mana pasukan dalam liga jadi untuk perlawanan terakhir musim ini, pasukan bermain tanpa tekanan.

"Mereka akan seronok bermain dengan juara liga tetapi sudah tentu kami akan berjuang untuk mempertahankan nama Penang FC serta cuba mendapatkan permainan yang boleh dibanggakan oleh penyokong kami," katanya.

Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu menambah, dirinya juga sudah bersedia sekiranya diberikan peluang untuk terus mengemudi Penang FC dengan menggabungkan pemain sedia ada dengan pemain baharu yang lebih berkualiti serta pemain import bagi membentuk pasukan lebih mantap untuk mengharungi saingan liga musim depan.

Sementara itu, jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berlapang dada dengan keputusan diperoleh malam tadi biarpun sedikit kecewa dengan kesilapan dilakukan anak buahnya di saat akhir hingga menyebabkan mereka terlepas peluang mengutip tiga mata penuh.

Begitu pun, Steinbruckner berkata, perlawanan menentang Penang FC itu dilihat sebagai pendedahan terbaik terutama buat barisan pemain muda dan fokus selepas ini adalah mempersiapkan pasukan bagi menentang JDT pada aksi final Piala Malaysia pada Jumaat ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram