[VIDEO] Gara-gara cemas, 'keeper' kelab Jerman terjaringkan gol sendiri secara unik


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Percubaan Fernandes untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya hanya merugikan dirinya serta pasukannya.

AKSI bola sepak divisyen kedua Jerman antara Hamburger SV dan St Pauli FC pada Jumaat menyaksikan satu gol sendiri mengejutkan daripada penjaga gol Hamburg, Heuer Fernandes.

Dalam pertembungan derbi antara kedua-dua pasukan itu, pemain berusia 31 tahun berkenaan dilihat terburu-buru ketika melakukan sepakan gol.

Dia yang pada awalnya membuat hantaran pendek kepada rakan sepasukan seakan-akan kesal dengan keputusan terbabit selepas pemain lawan memberikan tekanan dalam kotak penaltinya.

Cemas dengan keadaan berkenaan, Fernandes kemudiannya dilihat tidak berada dalam posisi terbaik untuk menerima hantaran semula daripada rakan sepasukannya.

Jadi, dengan perasaan terburu-buru, pemain kelahiran Jerman berkenaan bertindak cuba menendang bola ke kawasan lebih selamat, namun gagal apabila ia memasuki gawangnya sendiri.

Insiden berkenaan menyebabkan penjaga gawang berkenaan kelihatan cukup kecewa sementara pemain St Pauli bersorak di hadapan ribuan penyokong mereka sendiri di Millerntor-Stadion, Jerman.

Gol berkenaan menyebabkan Hamburg ketinggalan dengan dua gol di hadapan pada minit ke-27 dengan Fernandes sebelum itu ditewaskan Jackson Irvine.

Namun, perasaan malu tersebut tidak ditanggung penjaga gol berkenaan sehingga tamat permainan apabila pasukannya berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan Robert Glatzel dan Immanuel Pherai.

Keputusan berkenaan menyaksikan Hamburger SV kekal di kedudukan ketiga Bundesliga 2 sementara St Pauli terus berada di tangga teratas dengan kutipan 31 mata selepas 15 perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram