[VIDEO] Buka mata ramai, pemain warisan kelahiran Sarawak bakal rantai bintang EPL


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Antara tangkap layar video aksi Maidstone United dan Chesham United pada 4 November lalu.

NAMANYA tidaklah sehebat bintang pertahanan Buriram United, Dion Johan Cools yang mula memikat hati penyokong Harimau Malaya selepas menampilkan aksi memberangsangkan dalam Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Tetapi pemain warisan yang membantu kelab England, Maidstone United FC turut mempunyai portfolio hebat untuk mewakili Harimau Malaya jika diberi peluang beraksi di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Manakan tidak, pemain kelahiran Kuching, Sarawak, Samuel Bone lahir dalam sistem bola sepak England bersama Charlton Athletic sebelum berkelana ke Ireland selama tujuh tahun.

Musim ini, Samuel meninggalkan kelab gergasi Ireland, Dundalk FC untuk kembali ke England dengan menyertai Maidstone United dan menjadi tonggak utama pasukan yang berada di divisyen keenam Liga Inggeris.

Pada pusingan pertama Piala FA, Maidstone berjaya menewaskan Chesham United dengan keputusan 2-0 pada 4 November lalu yang mana Samuel diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Maidstone turut tersenarai antara empat pasukan kelab liga bawahan yang berjaya layak ke pusingan kedua Piala FA bersama-sama Horsham FC, Ramsgate FC dan Alfreton Town FC.

Barrow AFC dijadualkan bertemu Maidstone dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Jika Sam berjaya membantu Maidstone layak ke pusingan seterusnya, pemain berusia 25 tahun itu berpeluang bertemu bintang-bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Erling Haaland, Son Heung-min, Raheem Sterling dan ramai lagi.

Berdasarkan statistik Vanarama National League South, pemain pertahanan berketinggian 1.87 meter itu telah menjaringkan dua gol dalam 19 perlawanan terakhir.

Jadi, tidak hairanlah jika Samuel merupakan antara calon terbaik untuk diperkenalkan ke dalam skuad Harimau Malaya yang semestinya berharap tembok pertahanan lebih kukuh di masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram