KEHANGATAN perlawanan di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Selangor FC pastinya akan menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak tanah air pada hujung minggu ini.
Ia merupakan perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan untuk bergelar naib juara Liga Super sekali gus layak bersaing dalam Pentas Asia musim depan.
Berbaki dua perlawanan liga, Kedah dan Selangor tidak boleh kehilangan sebarang mata untuk terus memasang impian beraksi di pentas Asia musim depan.
Selangor kini berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 55 mata manakala Kedah pula di tempat ketiga dengan 53 mata.
Namun pertemuan dua kelab gergasi itu boleh dianggap 'reunion' bagi beberapa pemain yang pernah beraksi untuk Sang Kenari dan Gergasi Merah.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang pernah berbakti bersama Selangor dan kini berkhidmat untuk KDA FC:
Ifedayo membuktikan dia seorang penyerang berkualiti apabila menjaringkan 10 gol dalam sembilan perlawanan terakhir bersama Kedah.
1. Ifedayo Olusegun
Antara penjaring terbanyak Selangor FC pada musim 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun mungkin menjadi 'duri dalam daging' buat Gergasi Merah apabila bertandang ke Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Sebelum menyertai Sang Kenari, Ifedayo menjaringkan 50 gol dan tujuh bantuan jaringan (assist) dalam 43 perlawanan bersama Selangor FC.
Ifedayo turut mempunyai reputasi sebagai pemenang Kasut Emas dua tahun berturut-turut sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim 2020 dan 2021.
Selepas meninggalkan Liga Malaysia (Liga M) awal tahun ini, calon pemain naturalisasi itu kembali menggantikan Willian Lira yang memilih menyertai kelab Thailand, Chonburi FC semasa jendela perpindahan kedua.
Bersama Kedah, Ifedayo membuktikan dia seorang penyerang berkualiti apabila menjaringkan 10 gol dalam sembilan perlawanan terakhir.
Abdul Halim gagal menunjukkan kualitinya bersama Gergasi Merah sebelum dilepaskan oleh Selangor pada awal musim ini.
2. Abdul Halim Saari
Abdul Halim Saari secara rasminya kembali menyertai skuad Sang Kenari selepas disisihkan selama hampir dua musim berikutan kecederaan lutut (ACL) yang dialaminya ketika bersama Selangor pada Ogos lalu.
Pemain berusia 29 tahun itu pernah berkhidmat bersama Kedah sebelum memilih untuk menyertai Selangor pada musim 2019.
Namun disebabkan kecederaan, Abdul Halim gagal menunjukkan kualitinya bersama Gergasi Merah sebelum dilepaskan oleh Selangor pada awal musim ini.
Hanya tampil dalam dua perlawanan Liga Super, Abdul Halim dijangka membarisi bangku simpanan Kedah menjelang pertemuan menentang anak-anak buah Tan Cheng Hoe.
Rodney telah mewakili tiga pasukan iaitu Sarawak FA, PKNS FC dan Selangor FC sebelum menyertai Sang Kenari.
3. Rodney Celvin Akwensivie
Walaupun sudah membuat pengumuman tidak lagi bersama KDA FC musim depan, Rodney Celvin Akwensivie masih lagi berada dalam skuad Sang Kenari hingga hujung tahun ini.
Cemerlang beraksi di Kedah sebagai pemain pinjaman dari Selangor pada musim 2021, ia sekali gus membuatkan pihak pengurusan Sang Kenari berminat menandatanganinya secara tetap.
Sepanjang bergelar pemain profesional, Rodney telah mewakili tiga pasukan iaitu Sarawak FA, PKNS FC dan Selangor FC sebelum menyertai Sang Kenari.
Sebelum ini, Rodney pernah dilayangkan kad merah selepas secara tidak sengaja mengasari pemain import Perak FC, Seo Seo-nung sehingga mengakibatkan kecederaan patah hidung dalam perlawanan Piala Malaysia pada Ogos lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram