[VIDEO] Kami tahu apa perlu buat lawan Kedah — Sam Somerville


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Sam sertai Selangor pada musim lalu selepas tampil cemerlang bersama Penang FC.

KEHANGATAN perlawanan di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Selangor FC pastinya akan menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak tanah air pada hujung minggu ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu bagai misi hidup mati buat kedua-dua pasukan untuk layak ke pentas Asia sekali gus mengiringi Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.

Dalam laman sosial Facebook KDA FC, penyokong-penyokong Hijau Kuning diseru untuk hadir ke stadium pada 2 Disember ini dengan jangkaan lebih 25,000 penyokong akan menjadikan stadium keramat mereka sebagai lautan Hijau Kuning pada aksi tersebut.

"Aksi seterusnya KDA FC akan menerima kunjungan Selangor FC di Darul Aman. Perlawanan tumpuan Sabtu ini dijangka disambut 25,000 lautan hijau kuning dengan misi mendaki tangga ke-2 #LigaSuper2023 dan memburu slot AFC Champions League 2.

"Ayuh penyokong Hijau Kuning, gemakan sorakan di setiap penjuru stadium!,” tulis KDA FC di laman sosial rasmi kelab.

Namun begitu penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville tidak gentar akan sorakan penuh pemain ke-12 Sang Kenari apabila anak-anak buah Tan Cheng Hoe sudah melakukan persiapan rapi.

"Suhu perlawanan semakin panas, mungkin akan menjadi salah satu aksi terbaik musim ini. Kami (Selangor) tahu ia perlawanan yang sukar.

"Kami tahu kedua-dua pasukan akan merebut peluang (kemenangan) itu, untuk mendapatkan tiga mata tidak mudah. Tetapi kami tahu apa perlu buat dalam perlawanan itu," katanya.

Tambahnya lagi, tekanan daripada penyokong untuk layak ke pentas Asia sememangnya tinggi tetapi itulah tempat di mana Selangor perlu berada.

"Sebagai seorang pemain Selangor, tekanan daripada penyokong itu ada tetapi kami dah 'set' matlamat untuk layak ke Asia awal tahun ini.

"Kami benar-benar dekat dengan Asia, perlawanan Sabtu ini kami perlu mendapatkan tiga mata penuh dan beri fokus sepenuhnya aksi tersebut.

"Saya fikir ia pentas (Asia) yang mana pasukan perlu berada, kami pernah sertai Piala AFC jadi pasukan harus bersaing dalam Asia," jelasnya.

Sam Somerville 2

Sam kini merupakan penjaga gawang gol utama Selangor FC.

Sam turut menyatakan mereka mengenali kesemua pemain-pemain Kedah dan sudah memberikan yang terbaik dalam sesi latihan.

"Kini saya rasa baik dan yakin, saya menyediakan perlawanan itu dalam setiap latihan dan rasa semakin bagus dalam satu pasukan.

"Kebanyakan pemain telah mengenali pihak lawan dengan baik, kami mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka (Kedah).

"Macam saya cakap sebelum ini, kami meletakkan semuannya dalam latihan dan berharap semuanya berjalan lancar Sabtu ini," ujarnya.

Berbaki dua perlawanan liga, Kedah dan Selangor tidak boleh kehilangan sebarang mata untuk terus memasang impian beraksi di pentas Asia musim depan.

Selangor kini berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 55 mata manakala Kedah pula di tempat ketiga dengan 53 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram