Sah ke Asia buat fans JDT bakal kempunan lihat Faisal sertai Harimau Selatan


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Faisal merupakan tonggak utama skuad Gergasi Merah dengan 11 gol dan tujuh bantuan jaringan Liga Super direkodkan. — Facebook/Selangor FC

SKUAD Gergasi Merah mencatatkan satu kemenangan penting ketika berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu.

Keputusan 1-0 yang berpihak kepada pasukan Lembah Klang itu mengesahkan mereka sebagai naib juara Liga Super 2023, sekali gus memastikan slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 milik mereka.

Ia pastinya menjadi satu pencapaian mengagumkan buat Selangor FC yang kali terakhir beraksi di pentas Asia kira-kira tujuh tahun lalu.

Malah, kejayaan tersebut juga membuka ruang buat pasukan tersebut mengekalkan beberapa tonggak utama yang pasti tidak dapat menolak peluang beraksi dalam pertandingan peringkat benua.

Antara yang dijangka akan terus menabur bakti buat skuad Gergasi Merah pastinya penyerang sayap mereka, Faisal Halim setelah dikaitkan dengan juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.

401375685_18398380753006712_7710056447888149236_n

Faisal Halim merupakan bintang utama skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

Dia yang tidak pernah beraksi di pentas Asia sepanjang karier dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan selepas satu komen berbaur pujian diberikan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

Jadi, dengan Selangor FC berpeluang beraksi dalam ACL 2 musim depan, terdapat kemungkinan pemain kebangsaan itu akan kekal pada 2024.

Keputusan tersebut turut dibuat menerusi satu hantaran Faisal di laman Facebook peribadinya baru-baru ini yang seakan-akan mengesahkan berita berkenaan.

"2022 bersama Terengganu FC layak ke Asia, tetapi tak sempat merasakan hasil kerja keras kerana memilih cabaran baharu dan haluan yang baharu ke Selangor FC.

"2023 bersama Selangor FC layak ke Asia, dua tahun layak ke Asia. Rezeki dari ALLAH, insya-ALLAH 2024," kata pemain berusia 25 tahun terbabit.

1996926

Faisal (kiri) memainkan peranan penting ketika membantu skuad Sang Penyu ke Piala AFC musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Sebelum ini, Faisal pernah memberikan gambaran bahawa dia akan kekal bersama skuad Gergasi Merah berdasarkan satu hantaran Instagram daripada ejennya, Joe Berbatov.

Namun, pujian yang diberikan kepada TMJ seakan-akan menjadi klu bahawa dia akan memilih untuk menyertai JDT dalam misinya beraksi di pentas Asia selain menambah koleksi kejuaraan.

Bagaimanapun, kejayaan Selangor FC mengesahkan slot sedikit sebanyak memadam khabar angin berkenaan dengan penyokong turut berharap untuk dia terus kekal.

Faisal merupakan tonggak utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe musim ini dengan 11 gol dan tujuh bantuan jaringan membantu mereka menduduki tangga kedua Liga Super dengan hanya satu perlawanan berbaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram