SELANGOR FC berjaya mengesahkan kedudukan mereka sebagai naib johan Liga Super 2023 selepas menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan kemenangan tipis 1-0 di tempat lawan pada Sabtu.
Jaringan tunggal dari penjaring terbanyak pasukan pelawat, Ayron del Valle pada minit ke-64 mengesahkan tiga mata milik pasukan Lembah Klang tersebut dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Meskipun beberapa percubaan dibuat skuad Sang Kenari, kecemerlangan penjaga gol skuad Gergasi Merah, Sam Somerville kerap mengecewakan jentera serangan tuan rumah.
Namun, situasi permainan mampu berubah seawal minit kesembilan sekiranya penyerang KDA FC, Ifedayo Olusegun dapat menyempurnakan peluang.
Kerja keras daripada pemain sayap, Manuel Hidalgo membuka peluang cukup besar buat pemain kelahiran Nigeria itu yang hanya perlu melorongkan bola.
Perlawanan cukup mendebarkan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah.
Bagaimanapun, kegagalan Ifedayo untuk menendang bola dengan kuat menyaksikan Somerville tenang membuat tepisan, sekali gus mengekalkan kedudukan 0-0 pada ketika itu.
Pemain bertubuh tegap itu juga beberapa kali mensia-siakan peluang apabila dia tidak dapat melepasi asakan dibuat dua bek tengah Selangor FC, Safuwan Baharuddin dan Shahrul Nazeem Zulpakar.
"Ifedayo banyak peluang, tetapi itulah bola sepak. Kadang-kadang, ia belum ada rezekinya untuk bola masuk ke dalam gawang. Namun, jangan putus asa," kata Mat Nor.
"Penyerang tidak beraksi dengan baik, jarang lari dan tidak mahu mencari ruang," kata Alyff Adha.
"Ada peluang dipersiakan. Apabila sudah dihukum kerana kealpaan sendiri, mulalah masing-masing nak hilang fokus," kata Cariñoso Almizclè Jèffiro.
Berdasarkan kutipan mata semasa, Selangor FC memiliki kelebihan lima mata berbanding KDA FC yang hanya memiliki 53 mata selepas 25 perlawanan.
Kedudukan tersebut sekali gus mengesahkan skuad Gergasi Merah berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram