[VIDEO] Angkara kata-kata kesat, tak pasal-pasal Dion Cools dilabel antara 'budak jahat' Buriram United


  • Podium
  • Rabu, 29 Nov 2023

Kiri: Dion Cools kelihatan bertikam mulut dengan pemain Zhejiang FC. Kanan: Pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan berkumpul di tengah padang.

WAKIL Thailand dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini, Buriram United mengalami kekalahan ketiga mereka dalam peringkat kumpulan selepas mengharungi lima perlawanan.

Dalam aksi menentang Zhejiang FC di Stadium Olimpik Huzhou, China pada Rabu, Buriram tewas dengan keputusan 2-3 meskipun mereka berada di depan seawal minit kelapan.

Bagaimanapun, tentangan cukup hebat dibuat skuad kendalian Jordi Vinyals menyaksikan pasukan dari China itu mencatatkan kemenangan kedua mereka setakat ini.

Namun, kehangatan daripada pertembungan tersebut berlanjutan sehingga selepas wisel penamat ditiupkan apabila kini tular sebuah video memaparkan pergaduhan tercetus di atas padang.

Dalam kejadian tersebut, pemain kedua-dua pasukan dilihat terpaksa dipisahkan staf kejurulatihan masing-masing dengan bek kiri Buriram, Theerathon Bunmathan menjadi fokus utama.

Tetapi, pergelutan menjadi semakin buruk apabila kelihatan rakan sepasukan kepada Theerathon, Ramil Sheydayev ditendang serta dipukul berkali-kali oleh pemain Zhejiang FC.

Situasi kelihatan tegang apabila pemain dari Azerbaijan itu bergelut dengan lawannya di atas padang sehingga menyebabkan beberapa individu lain mengerumuni lokasi pergaduhan tersebut.

Pertelingkahan sekali lagi kecoh apabila bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools terlibat ketika dia menarik pemain Zhejiang FC supaya tidak masuk campur.

Tindakan pemain tersebut menimbulkan rasa kurang senang apabila beberapa pemain tuan rumah cuba untuk menyerangnya, namun dia sempat diselamatkan.

Keadaan kembali tenang apabila pihak keselamatan stadium hadir meleraikan situasi dengan orang ramai di atas padang diiring ke dalam bilik persalinan masing-masing.

Difahamkan, pertelingkahan berpunca daripada lontaran kata-kata kesat segelintir pemain Buriram United terhadap pemain lawan.

Sehingga kini, pihak AFC masih belum mengeluarkan kenyataan, namun ramai menjangkakan denda berat akan diberikan terhadap kedua-dua pasukan.

Selain perlu membayar denda, Buriram United dan Zhejiang FC juga berkemungkinan dikenakan pemotongan mata selepas insiden keganasan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram