[VIDEO] Kapten Marvel era 90-an seru penyokong Sang Kenari bantu KDA FC padam misi Asia Selangor


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Bayangan Stadium Darul Aman jika kapasiti penuh ketika menentang Selangor Sabtu ini.

KEHANGATAN perlawanan di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Selangor FC pastinya akan menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak tanah air pada hujung minggu ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu bagai misi hidup mati buat kedua-dua pasukan untuk layak ke pentas Asia sekali gus mengiringi Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.

Dalam laman sosial Facebook KDA FC, penyokong-penyokong Hijau Kuning diseru untuk hadir ke stadium pada 2 Disember ini dengan jangkaan lebih 25,000 penyokong akan menjadikan stadium keramat mereka sebagai lautan Hijau Kuning pada aksi tersebut.

"Aksi seterusnya KDA FC akan menerima kunjungan Selangor FC di Darul Aman. Perlawanan tumpuan Sabtu ini dijangka disambut 25,000 lautan hijau kuning dengan misi mendaki tangga ke-2 #LigaSuper2023 dan memburu slot AFC Champions League 2.

"Ayuh penyokong Hijau Kuning, gemakan sorakan di setiap penjuru stadium!,” tulis KDA FC di laman sosial rasmi kelab.

Turut tidak mahu ketinggalan, Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din juga membantu pihak pengurusan Sang Kenari mengajak penyokong-penyokong Hijau Kuning membanjiri stadium menentang Gergasi Merah pada Sabtu ini.

"Jangan lupa Sabtu ini, 2 Disember 2023, Kedah bertemu dengan Selangor perlawanan terakhir peringkat liga di Alor Setar.

"Datang ramai-ramai, sebab kita nak pastikan Kedah mengalahkan Selangor dengan sokongan daripada tuan-tuan sekalian.

"Pastikan 8:30 malam (Sabtu) kita penuhi stadium Darul Aman dan kita bagi sokongan moral kepada pasukan Kedah.

"Pulun, Kedah pulun!" katanya dengan penuh semangat.

Untuk rekod, Muhamad Radhi Mat Din merupakan bekas pemain bola sepak Kedah pada tahun 90-an dan pernah mendapat gelaran 'kapten marvel' oleh penyokong Sang Kenari.

Pada 2018, Radhi Mat Din mula menyertai arena politik dan tahun ini dilantik sebagai exco kerajaan negeri selepas berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Berbaki dua perlawanan liga, Kedah dan Selangor tidak boleh kehilangan sebarang mata untuk terus memasang impian beraksi di pentas Asia musim depan.

Selangor kini berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 55 mata manakala Kedah pula di tempat ketiga dengan 53 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram