Dari kelab tercorot Liga M3 ke berlatih di Wolves, ex TRW intai peluang sertai kelab Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Fathullah Fazilisham (kiri) akan mewakili Naga Ultimate ke Wolverhampton Wanderers pada 2024. — Facebook/AFL

BUKAN mudah untuk seseorang pemain bola sepak itu mendapatkan peluang berlatih menggunakan fasiliti terbaik di salah sebuah pasukan terbaik di England.

Itulah yang menanti 12 pemain Amatuer Football League (AFL) apabila mereka akan diterbangkan ke England untuk berlatih di kelab Wolverhampton Wanderers (Wolves) pada awal tahun 2024.

Salah seorang daripada 12 nama yang dipilih adalah pemain pertahanan Naga Ultimate iaitu Fathullah Fazilisham. Mereka terpilih untuk ke Wolves hasil program Dare To Dream anjuran AFL serta penaja kejuaraan Liga M3 iaitu MBSB Bank.

Pertahanan berusia 26 tahun dari Tumpat, Kelantan ini mengakui tidak menyangka rezeki untuk terpilih itu datang kepadanya kerana sedar terdapat lebih ramai pemain lebih baik berbandingnya.

"Saya tak jangkakan untuk terpilih kerana terdapat lebih ramai pemain yang tinggi pengalamannya dan mempunyai pengalaman yang bukan calang-calang.

"Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi, saya tidak jangkakan rezeki itu tapi ia juga atas berkat doa ibu bapa, keluarga, rakan-rakan serta pasukan saya," kata Fathullah kepada Majoriti.

Fathullah yang dipilih bersama-sama pemain seperti Hazim Abu Zaid (Imigresen FC), Ikmal Idris (Kuala Lumpur Rovers) dan Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC) mahu menggunakan tempoh berlatih di Wolves dengan sebaiknya sambil menikmati saat-saat tersebut bersama rakan-rakan.

Dia juga tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan pemain Wolves kegemarannya iaitu Matt Doherty dan Pablo Sarabia.

"Di Wolves, saya nak cepat-cepat sesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran di sana. Sudah pasti saya nak kaut sebanyak boleh ilmu di sana untuk digunakan dalam karier saya di Malaysia kelak.

"Jika diberikan peluang, saya nak bertemu dengan Pablo Sarabia, Matheus Cunha, Mario Lemina dan Matt Doherty. Saya minat Doherty kerana pengalaman luasnya sebagai pemain terutamanya pertahanan kanan," ujar Fathullah.

skysports-doherty-matt-wolves_5077834

Matt Doherty merupakan ikon untuk pasukan Wolves. — Agensi

Dalam masa yang sama, Fathullah gembira dengan pemilihannya ke Wolves dapat mengubat kecewa dialami pasukannya dalam saingan Liga M3. Untuk rekod, Naga Ultimate menamatkan saingan di tempat tercorot dengan hanya mengutip tiga mata.

Lebih mengecewakan, pasukan ini mencatatkan jumlah bolos tiga angka dengan melepaskan 100 gol.

"Ternyata perancangan ALLAH itu sangat indah, bukan? Berita mengenai kejayaan ini dapat mengubati (duka) semua pemain dan staf kejurulatihan Naga Ultimate kerana ada wakil untuk Naga Ultimate dalam program ini.

"Saya percaya ada di antara pemain Naga Ultimate yang berkualiti dan saya berdoa semoga mereka dapat meneruskan karier mereka," tambah Fathullah.

404178654_847875120673962_6268892169853884116_n

Barisan 12 pemain yang akan terbang ke Wolves pada awal 2024. — Facebook/AFL

Fathullah berharap dengan pemergiannya ke Wolves dapat membuka jalan untuknya menerima tawaran lebih baik menjelang musim depan.

Dia nyata terbuka untuk menyertai pasukan baharu pada musim dengan dengan Fathullah mengintai peluang beraksi dalam saingan Liga Super.

Namun begitu, dia mengesahkan belum menerima sebarang tawaran dari mana-mana pasukan.

"INSYA ALLAH, ada berita baik," respon Fathullah ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram