Tomi 'demand' bintang TFC tunjuk taring, pastikan slot ke kalah mati tercapai


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Tomislav Steinbruckner mahu pemain bangkit selepas dibelasah Sabah FC dalam Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

PELUANG untuk mara ke pusingan kalah mati Piala AFC masih lagi terbuka untuk Terengganu FC.

Kini menduduki tangga kedua kumpulan G di belakang Central Coast Mariners, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mengharapkan para pemainnya menunjukkan taring sebenar ketika perlawanan.

Pengendali dari Croatia itu benar-benar mahu melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Oleh itu, dia mahukan pemain-pemain Terengganu bangkit semula terutamanya selepas dibelasah Sabah FC 0-4 dalam aksi Liga Super baru-baru ini.

"Kami tahu kualiti yang ada pada pemain-pemain Mariners dari segi individu. Tetapi kami juga ada pemain-pemain berkualiti.

"Ada masanya anda dapat saksikan kualiti itu, ada masanya tidak. Sebagai contoh ketika perlawanan baru-baru ini dalam Liga Super (menentang Sabah). Tetapi untuk aksi pada Rabu, saya jangkakan para pemain saya untuk memberikan persembahan maksima kerana jika ingin layak ke pusingan seterusnya, kami mesti mendapatkan mata," kata Steinbruckner.

Steinbruckner mengakui yang fokusnya tidak tertumpu kepada kekuatan Mariners. Sebaliknya, dia hanya mahu Terengganu memberikan persembahan cemerlang walaupun di tempat lawan.

Hal ini kerana, dia berpendapat sekiranya aksi yang baik ditonjolkan pasti kejayaan akan datang sekali bersama-sama Terengganu.

"Saya sedar Mariners berada di puncak kumpulan kami. Pada saya, semua perlawanan adalah sama. Jika hendak mendapatkan mata, maka kami perlu memberikan persembahan yang bagus.

"Saya tidak terlalu kisahkan mengenai pasukan lawan, tetapi saya tahu, perlawanan ini diadakan di gelanggang Mariners serta mereka baru saja menang buat pertama kali dalam saingan liga Australia. Jadi saya jangkakan atmosfera di stadium akan jadi lebih baik," ujar Steinbruckner.

Terengganu berpeluang untuk merosakkan permulaan musim baharu Mariners dengan menghadiahkan satu lagi kekalahan selepas kelab itu tewas empat daripada lima aksi pertama saingan A-League.

Mariners mempunyai sedikit tonik apabila berjaya menewaskan Newcastle Jets 3-1 pada aksi terakhir liga sebelum berdepan Terengganu.

Sementara Terengganu yang kalah kepada Sabah perlu mengelak daripada tewas supaya motivasi tidak semakin turun sebelum bertemu Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram